Warga emas maut, motosikal terbakar bertembung lori

Keadaan motosikal yang terbakar selepas bertembung dengan lori di KM16 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Selasa.
Keadaan motosikal yang terbakar selepas bertembung dengan lori di KM16 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Selasa.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, lelaki berkenaan yang berusia 73 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan terbabit berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki tersebut bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

"Ia berlaku ketika penunggang tersebut membelok ke kanan untuk masuk ke simpang.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa telah terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, warga emas terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.