Gade harap Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Jerman

Aaron (kanan) dan Soi Yik berdepan jadual padat bakal menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan ini. (Gambar kecil: Gade) Foto Agensi
Aaron (kanan) dan Soi Yik berdepan jadual padat bakal menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan ini. (Gambar kecil: Gade) Foto Agensi
A
A
A

KEJOHANAN badminton Terbuka Jerman di Mulheim ketika ini menjadi pentas terbaik buat beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraih gelaran pertama musim ini.

Kejayaan bergelar juara atau sekurang-kurangnya mara ke final mampu menjadi pembakar semangat buat mereka sebelum menyertai saingan lebih besar iaitu Seluruh England 2023 minggu depan.

Pandangan tersebut disuarakan legenda badminton Denmark, Peter Gade yang memilih pasangan beregu lelaki negara itu sebagai calon memenangi gelaran Terbuka Jerman 2023.

“Saya tidak sangsi mereka (Aaron-Wooi Yik) antara pilihan untuk menjuarai Terbuka Jerman dan berharap mereka akan menamatkan kemarau kejuaraan jelajah BWF.

“Bagi saya ia satu yang mengecewakan jika pasangan ini tidak berjaya ke final (Terbuka Jerman). Kejohanan ini adalah yang terbaik sebagai persiapan mereka menjelang All England.

Gade ketika ditemubual menerusi Twitter.
Gade ketika ditemubual menerusi Twitter.



“Saya tahu ia bukan mudah tetapi ini merupakan platform terbaik buat mereka untuk membina keyakinan selepas aksi tidak menentu dalam beberapa kejohanan lepas,” katanya.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu mengulas mengenai calon juara Terbuka Jerman dalam satu sesi temubual atas talian yang dikongsi di Twitter.

Gade juga percaya sekiranya Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi Terbuka Jerman ia akan menjadi tonik terbaik buat mereka untuk mengharungi kejohanan Seluruh England.

"Sekiranya mereka dapat melakukannya (muncul juara), sudah pasti ia akan menjadi pencetus semangat sebelum ke Seluruh England nanti," ujar Gade.

Aaron memilih jalan selamat apabila enggan menyatakan sasaran kerana khuatir menjadi tekanan kepada diri sendiri yang mungkin boleh mengganggu mental dan prestasi ketika beraksi.

Pada Terbuka Jerman, Aaron-Wooi Yik mendapat bye di pusingan pertama.

Juara dunia 2022 itu akan memulakan saingan bertemu pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito di pusingan kedua selepas pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri akibat kecederaan.

Turut beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 300 itu ialah beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang akan menentang Lee Fang-chih-Lee Yang.

Gandingan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong terus mara ke pusingan kedua selepas gandingan Scotland, Adam Hall-Alexander Dunn menarik diri.