38 individu tuntut wang umrah dikembalikan

Mangsa menunjukkan laporan polis dan bukti perbualan menerusi WhatsApp bersama bekas guru besar terbabit.
Mangsa menunjukkan laporan polis dan bukti perbualan menerusi WhatsApp bersama bekas guru besar terbabit.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 38 individu bukan sahaja kecewa tidak dapat mengerjakan ibadah umrah malah buntu kerana tidak mendapat semula wang umrah yang dibayar kepada sebuah yayasan pada 2018.

Salah seorang mangsa, Azlina Abdullah,53 berkata, mereka telah berurusan dengan seorang wanita yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan di bandaraya ini yang berperanan sebagai orang tengah.

Katanya, kesemua peserta umrah telah membayar duit pakej sebanyak RM2,999 seorang untuk mengerjakan umrah pada tahun 2019.

"Bagaimanapun, pada tahun 2019 dia telah memberitahu yang rombongan umrah berkenaan terpaksa dibatalkan kerana pengurus yayasan itu ada masalah kesihatan.

"Dia juga berjanji untuk membayar semula wang kami setelah menjual semua aset pada Februari 2022, tetapi sehingga sekarang kami belum menerima apa-apa bayaran," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Azlina
Azlina

Azlina berkata, semua peserta tertanya-tanya kaitan penjualan aset dengan wang mereka kerana wang yang dibayar adalah untuk pakej umrah bukan untuk pembelian aset syarikat.

"Kami turut buntu kerana sebarang pertanyaan kepada guru besar terbabit menerusi WhatsApp juga tidak dilayan dan dia bertindak mendiamkan diri.

"Kali terakhir kami berkomunikasi dengannya secara Google Meet pada Jun lalu," katanya yang juga guru di sekolah sama.

Mohd Azhan Abdullah,41 iaitu adik kepada Azlina berkata, dia kecewa kerana bekas guru besar itu bertindak lepas tangan dan lebih terkilan ada dalam kalangan mangsa yang telah meninggal dunia.

"Bapa dan bapa mertua saya telah meninggal tetapi sehingga kini wang itu masih belum dipulangkan kepada kami.

"Kami terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM25,000 untuk sembilan ahli keluarga yang sepatutnya mengikuti umrah terbabit," katanya.

Bagi Azzuriyati Murni Abdullah,37, dia bukan sahaja membayar pakej umrah dengan individu terbabit malah turut membayar sebanyak RM2,190 bagi mengikuti rombongan ke Perth, Australia.

"Saya beri nama untuk kedua-dua rombongan, dan akhirnya duit saya lesap lebih RM5,000.

"Sebelum ini saya yakin dengan pakej yang ditawarkan kerana pengalaman ahli keluarga yang dapat pergi umrah menerusi guru besar terbabit, tetapi tak sangka kali ini nasib tidak menyebelahi kami," katanya.