Fahmi ingatkan penggiat industri filem patuhi undang-undang

Fahmi ketika program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fahmi ketika program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penggiat industri filem diingatkan untuk mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dalam penghasilan karya sama ada filem dalam talian atau layar perak.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan, mana-mana pihak yang ingin memulakan penggambaran filem perlu mendapatkan permit daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terlebih dahulu.

Beliau berkata, tindakan akan diambil sekiranya didapati ada pihak yang melanggar undang-undang berkenaan.

"Kerajaan pada hari ini sangat tegas dalam isu kepatuhan kepada undang-undang.

"Saya ingin beri peringatan kepada semua walaupun kita nak jadi pembikin filem indie, kita masih ada undang-undang yang terpakai kepada apa-apa karya yang dihasilkan.

"Jadi kita perlu hormat undang-undang itu," katanya pada program Town Hall Rakyat yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sementara itu, mengulas mengenai filem Mentega Terbang, beliau memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil langkah untuk berhubung dengan pihak Viu dan filem itu telah diturunkan serta tidak lagi boleh ditonton oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, siasatan akan diteruskan dan tindakan boleh diambil sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat pelanggaran undang-undang.

"Kalau berlaku pelanggaran, pihak berkuasa akan ambil tindakan. Walaupun ia (filem Mentega Terbang) disiapkan dan ditayangkan sebelum saya jadi menteri, tapi kita tidak akan mengelak, kita akan ambil tindakan sekarang sekarang," tambahnya.

Beliau turut berharap agar proses siasatan dapat diselesaikan dengan segera dan meminta semua pihak faham bahawa pihak berkuasa perlu mengambil keterangan pihak terlibat.

"Proses akan ambil masa untuk rakam, ambil keterangan, jangan lakukan di luar batas undang-undang.

"Itu juga satu kesalahan. Jadi sabar, pihak berkuasa akan ambil tindakan," ujarnya.