Pemandu Lexus langgar enam kenderaan positif ganja

Sebuah kenderaan jenis Lexus melanggar enam buah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuhraya Bukit Jalil pada Ahad.
Sebuah kenderaan jenis Lexus melanggar enam buah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuhraya Bukit Jalil pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu sebuah kenderaan jenis Lexus yang melanggar enam buah kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat berhampiran Lebuhraya Bukit Jalil di sini pada Ahad disahkan positif ganja.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berumur 40 tahun itu dari arah bangunan Astro menghala ke bulatan Lumba Kuda dipercayai hilang kawalan.

"Kenderaan tersebut kemudiannya melanggar enam buah kenderaan lain yang ketika itu sedang berhenti menunggu lampu isyarat

"Kemalangan mengakibatkan kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan, bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, pemandu Lexus terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suspek didapati positif dadah jenis ganja menerusi saringan air kencing yang dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran," katanya.