Remaja maut tunggang melulu, lumba sesama sendiri

Seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda Musa dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang, di sini, pada Ahad.
Seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda Musa dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang, di sini, pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Seorang remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda Musa dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal, mendapati punca kemalangan pada jam 1.30 pagi itu disebabkan oleh sekumpulan penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dengan menunggang secara laju, melulu dan membahayakan diri.

"Kedua-dua motosikal itu telah bergesel sesama sendiri dan penunggang tersebut tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh di atas jalan raya.

"Kedua-dua mangsa berusia 19 tahun telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hoong Fong berkata, seorang mangsa telah meninggal dunia pada jam 6.50 pagi, manakala seorang lagi masih dirawat di zon merah kerana mengalami kecederaan parah.

"Kakak kepada mangsa yang meninggal dunia telah hadir ke Balai Polis Trafik Klang membuat laporan polis" katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Syahirah Kamsani di talian 0124470162 atau menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 03-33722222 bagi membantu siasatan polis.

"Kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.