Dua maut, seorang parah dalam letupan bom di Narathiwat

Sebutir bom buatan sendiri diletupkan ketika konvoi pasukan keselamatan yang membawa Mejar Jeneral Paisan Nusang melalui lokasi kejadian. - Foto: Bangkok Post
Sebutir bom buatan sendiri diletupkan ketika konvoi pasukan keselamatan yang membawa Mejar Jeneral Paisan Nusang melalui lokasi kejadian. - Foto: Bangkok Post
A
A
A

NARATHIWAT - Dua pegawai skuad pemusnah bom maut dan seorang lagi cedera parah dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan) pada Jumaat, sebutir bom buatan sendiri diletupkan ketika konvoi pasukan keselamatan yang membawa Timbalan Komander Tentera Bahagian Keempat, Mejar Jeneral Paisan Nusang melalui lokasi kejadian.

Ketua Polis Si Sakhon, Kolonel Pakkawat Wansanook berkata, konvoi pasukan keselamatan itu dalam perjalanan ke tempat kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di sebuah markas renjer di Kampung Air Kasea di Si Sakorn yang berlaku pada Khamis.

Tempat kejadian letupan bom pada Jumaat terletak kira-kira 800 meter dari markas renjer itu.

"Apabila konvoi pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian, sebutir bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan diletupkan.

"Letupan yang kuat menyebabkan ‘military jammer vehicle’ yang dinaiki skuad pemusnah bom melambung dan terbalik. Dua anggota skuad pemusnah bom meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

"Sekumpulan lelaki tidak dikenali turut melepaskan tembakan ke arah konvoi pasukan keselamatan. Insiden berbalas tembakan berlanjutan kira-kira lima minit sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.

Pakkawat berkata, Paisan yang berada dalam satu daripada empat kenderaan konvoi itu tidak mengalami kecederaan. - Bernama