22 terima darjah kebesaran, pingat negeri Perak hari ini

Sultan Nazrin bersama Tuanku Zara berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kerhormatan di Istana Iskandariah pada Sabtu. - Foto Bernama
Sultan Nazrin bersama Tuanku Zara berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kerhormatan di Istana Iskandariah pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 22 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Mohd Zuki, 61, dikurniakan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-66 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 4 November lalu.

Penganugerahan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) diberikan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Bagi Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 13 penerima.

Antara penerima DPMP, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Utama Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Luar Negeri, Datuk Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Anis Rizana Mohd Zainudin.

Selain itu, turut menerima DPMP, Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman; Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Shamshuzaman Sulaiman; Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu, Jabatan Kerja Raya, Ir Zulkipli Nasri; Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Ker Hong Bee dan Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik, Institut Jantung Negara, Dr Alwi Mohamed Yunus.

Penerima lain ialah Pengerusi Lembaga Pengarah, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd; Mubarak Ali Gulam Rasul, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti Sunway, Profesor Dr Lee Fuh Yen dan Yang Dipertua Persatuan Eurasian Selangor dan Wilayah, Sheila Eleanor De Costa.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Allahyarham Datin Profesor Dr Mehrun Siraj menerima darjah DPMP secara anumerta.

Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada lima penerima.

Mereka ialah Grup Jurutera Medan Markas Pemerintahan, Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa; Penasihat Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Safwan @Asri Ismail; Kor Kesihatan Diraja, Markas Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Dr Mohd Ghazalli Mohd Taha, Inspektor Jeneral ATM, Laksamana Muda Abd Halim Shaari dan Ketua Cawangan Khas PDRM Perak, Senior Asisten Komisioner Shazeli Kahar.

Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.

Secara keseluruhan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan 212 darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Terdahulu, baginda memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen diketuai Kolonel Abdul Rahim Hamzah.