Sakura Kedah warnai Alor Setar

Seorang remaja, Nur Zahraa' Alis Qaisara Mohd Azhar teruja melihat Sakura Kedah berbunga di Taman Rekreasi Ujana Peremba. (Gambar tengah: Nur Zahraa’ Alis Qaisara menunjukkan bunga sakura Kedah yang berguguran.)
Seorang remaja, Nur Zahraa' Alis Qaisara Mohd Azhar teruja melihat Sakura Kedah berbunga di Taman Rekreasi Ujana Peremba. (Gambar tengah: Nur Zahraa’ Alis Qaisara menunjukkan bunga sakura Kedah yang berguguran.)
A
A
A

JIKA Jepun terkenal dengan bunga Sakura, juga negara lain seperti Korea (cherry blossom), Itali (bunga matahari), Belanda (tulip) dan Perancis (lavender), negeri Jelapang Padi, Kedah juga tidak kurang hebatnya.

Selepas dilanda cuaca panas, Kedah kini dilanda musim bunga. Pokok Tekoma ataupun nama saintifiknya tabebuia rosea yang mula berbunga menyebabkan Bandaraya Alor Setar bagaikan di luar negara dengan limpahan guguran bunga berwarna

putih dan merah jambu.

Bunga sakura Kedah jatuh berguguran menutupi permukaan tanah bagaikan hamparan permaidani.
di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary, Alor Setar.
Bunga sakura Kedah jatuh berguguran menutupi permukaan tanah bagaikan hamparan permaidani. di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary, Alor Setar.



Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa laluan seperti Jalan Langgar, Jalan Sultan Baldishah, Jalan Stadium dan Jalan Kuala Kedah mula dipenuhi dengan bunga Tekoma atau lebih dikenali sebagai sakura Kedah.

Tidak hairanlah penduduk sekitar bandar ini tidak melepaskan peluang merakamkan saat indah itu apabila bunga sakura Kedah jatuh berguguran menutupi permukaan tanah bagaikan hamparan permaidani.

Usahawan, Nordiani Abd Rahman, 38, mengakui sangat teruja apabila pokok sakura Kedah kembali berbunga sejak beberapa hari lalu selepas cuaca panas di Kedah.

“Kemunculan bunga sakura Kedah ini adalah musim yang sangat ditunggu-tunggu penduduk termasuk saya sendiri kerana setiap tahun kita seolah-olah berada di luar negara.

“Apatah lagi bunga Tekoma yang ditanam di tepi jalan sekitar bandar Alor Setar ini sangat cantik, sekali gus memberi peluang kepada penduduk melihat panorama mengasyikkan dan menenangkan fikiran,” katanya.

Nordiani berkata, dia berharap bunga sakura Kedah berkembang lebih banyak dalam tempoh yang panjang kerana ia boleh menjadi lokasi untuk bergambar serta tarikan pelancongan.

Seorang remaja, Nur Zahraa’ Alis Qaisara Mohd Azhar, 13, mengajak ibu bapanya untuk singgah berswafoto di Taman Rekreasi Ujana Peremba di sini.

“Saya tidak mahu lepaskan peluang ini dan seolah-olah berada di Jepun dan Korea, lagipun kita perlu menunggu setahun lagi untuk menikmati pemandangan ini kerana ia tidak berbunga dalam tempoh lama,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Yazlin Mohd Isa, 45, mengakui bangga dengan keindahan bandar Alor Setar seakan-akan seperti berada di Korea Selatan setiap kali bunga sakura Kedah kembali berbunga.

“Saya sendiri ternanti-nanti ketibaan musim bunga ini untuk merakam gambar dan berharap semakin banyak bunga berkembang,” katanya.

Suri rumah dari Titi Gajah itu berharap, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dapat menanam lebih banyak pokok sakura Kedah di taman rekreasi dan jalan utama bandar Alor Setar ini.

“Melalui cara ini, bandar ini akan terus menjadi tarikan pelancong untuk sama-sama merasai pengalaman dan suasana seperti luar negara,” katanya.

Bagi pengunjung, Izzarena Halim, 39, dia juga tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan panorama bunga sakura Kedah yang berwarna-warni itu.

Anak jati tempatan itu berkata, dia tidak pernah ke luar negara, sekali gus berasa gembira dan seronok sebab berpeluang mengambil gambar bunga-bunga yang mekar itu.

“Rasa seronok juga apabila Malaysia terutamanya negeri Kedah ada musim bunga sebegini.



"Jadi saya memang sering sarankan kepada pengantin untuk rakamkan gambar kenangan ketika musim ini,” katanya ketika ditemui berhampiran Medan Selera Hospital Lama Alor Setar.

Bagaimanapun, menurutnya, ada beberapa kawasan tidak berbunga lebat seperti tahun-tahun sebelumnya seperti Jalan Simpang Kuala menuju ke Jeti Kuala Kedah.