Kim Kardashian terima AS$250,000 berjudi dengan Jho Low

DiCaprio (kiri) dan Kim Kardashian disoal siasat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS dan DoJ berhubung penyelewengan dana 1MDB. - Foto Awani
DiCaprio (kiri) dan Kim Kardashian disoal siasat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS dan DoJ berhubung penyelewengan dana 1MDB. - Foto Awani
A
A
A

PERSONALITI antarabangsa, Kim Kardashian memberitahu penyiasat Amerika Syarikat (AS) bahawa dia pernah bermain judi bakarat dengan wang yang diterima oleh Jho Low dan mendapat laba kira-kira RM1,119,250 (AS$250,000).

Memetik laporan sebuah portal berita, Kim memaklumkan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS yang dia pernah berjudi dengan ahli perniagaan buruan polis.

Jelas portal berkenaan, sesi perjudian pertama dimulakan dengan makan malam dan berhibur di kelab.

Tambah personaliti itu, sesi perjudian turut disertai anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz dan penerbit filem Wolf Of Wall Street, Joey McFarland.

Menerusi dokumen hasil siasatan FBI, Kim memaklumkan pada jam 3 pagi, kumpulan itu berada di sebuah bilik peribadi di kasino untuk bermain bakarat.

"Kim tidak mempercayai lelaki Asia yang bersama Jho Low dan bercakap bahasa Inggeris, dan mereka akan sentiasa menjerit 'Monkey' apabila bernasib baik semasa bermain bakarat.

"Kim menganggap Reza Aziz dan McFarland turut berada di sana bersama seorang lelaki tua Asia," kata dokumen berkenaan.

Ia merupakan ringkasan temu bual oleh pihak berkuasa AS dengan Kim.

Perkara tersebut dikemukakan oleh pendakwa raya yang sedang bersiap-siap untuk perbicaraan ke atas kumpulan muzik Fugees, Prakazrel ‘Pras’ Michél.

Portal berkenaan turut memaklumkan bahawa Michél dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melobi bagi pihak Jho Low dan kerajaan China.

Berdasarkan laporan FBI, pada jam 5 pagi, Kim memberitahu penyiasat yang dia mahu meninggalkan kasino berkenaan, namun dinasihatkan untuk kekal berada di situ kerana kebiasaannya Jho Low akan mengedarkan cip perjudian pada penghujung malam.

Tambah laporan itu lagi, Kim akhirnya memenangi RM1,567,475 (AS$350,000), tetapi pengawal keselamatannya menasihatkan untuk memulangkan wang berkenaan kerana dia tidak berjudi dengan menggunakan wang sendiri.

"Apabila Kim cuba memberikan kembali cip tersebut, Jho Low memberitahu Kim bahawa cip berkenaan adalah miliknya untuk disimpan," kata FBI.

Apabila Kim menukarkan cip tersebut dengan wang, dia diberi sejumlah wang kira-kira RM1.1 juta (AS$250,000) dalam bentuk wang kertas RM447 (AS$100) dan diisi dalam beg sampah.

Untuk membuktikan bahawa wang yang diterimanya adalah sebagai hadiah, Kim akhirnya meminta surat daripada Jho Low.

Semasa Kim hadir dalam sesi berjudi kali kedua dengan Jho Low, dia menerima baki kira-kira RM447,614 (AS$100,000). Wang berkenaan turut diisi di dalam beg sampah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua selebriti Hollywood, Leonardo DiCaprio dan Kim telah disoal siasat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS dan Jabatan Kehakiman berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd atau 1MDB.