Wanita dihanyutkan arus ketika lalu jambatan gantung

Anggota bomba dari BBP Muadzam Shah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Aur, Bukit Ibam pada Jumaat.
Anggota bomba dari BBP Muadzam Shah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Aur, Bukit Ibam pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - [KEMAS KINI] Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus ketika melalui sebuah jambatan gantung bersama bapa saudaranya untuk menyeberangi sungai di Kampung Aur, Bukit Ibam, Muadzam Shah pada Jumaat.



Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kejadian menimpa mangsa dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23 itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3.45 pagi.

Menurutnya, mangsa dan bapa saudaranya dipercayai terjatuh selepas jambatan dirempuh arus air ekoran paras sungai melimpah.

"Kejadian disaksikan penduduk kampung dan mereka sempat menyelamatkan bapa saudara mangsa manakala dia tenggelam dihanyutkan arus.



"Kaunter aduan Balai Polis Bukit Ibam menerima laporan daripada anggota bertugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK Kampung Aur berhubung kejadian kira-kira jam 4.11 pagi," katanya.

Mohd Azahari berkata, anggotanya segera ke tempat kejadian tetapi terhalang apabila jalan utama untuk ke kampung itu terputus hubungan akibat banjir.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima lapiran berhubung kejadian jam 10.38 pagi untuk bantuan mencari dan menyelamat.

Menurutnya, susulan maklumat diterima daripada Balai Polis Bukit Ibam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi.

"Pasukan penyelamat terdiri dari anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa menggunakan laluan darat dan air ekoran kawasan itu terjejas banjir," katanya.