Tajuddin dalam tempoh bertenang

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

PASIR SALAK - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meletakkan diri dalam tempoh bertenang susulan krisis dalaman parti melibatkan dirinya dengan kepimpinan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebolehnya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya sekarang mendiamkan diri, tak banyak buat kenyataan kerana saya dalam tempoh bertenang.

"Kalau ada salah faham saya dengan mana-mana pihak, kalau boleh saya tak nak berpanjangan, mahu diselesaikan secara baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak yang sebelum ini lantang dalam memberikan pandangan itu menegaskan, tindakannya itu bukan bermakna menunjukkan beliau mengalah.

Katanya, ketegasan dalam bersuara dan memberi teguran akan tetap dipamerkan sekiranya berlaku perkara yang menyalahi prinsip dan perjuangan parti.

"Ini tempoh bertenang, tetapi kalau ada pihak-pihak berkenaan yang nak tunjuk sikap terus berpanjangan nak bergaduh, saya akan lawanlah.

"Tetapi sebolehnya mari kita cari jalan yang tak perlu konfrontasi, baik dengan pemimpin atau ahli," katanya.

Meskipun pernah ditawarkan menyertai parti lain, beliau kekal dengan pendirian untuk tetap berjuang dalam UMNO.

"Apa pun jadi saya bersama UMNO. Selagi badan sihat, umur panjang saya akan terus berjuang dalam UMNO.

"Bukan mengejar jawatan, tetapi demi UMNO dan ahli-ahlinya juga untuk agama Islam dan orang-orang Melayu," katanya.

Mengulas kesediaan anaknya, Dr Faizal bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada pemilihan kali ini, Tajuddin menganggap perkara itu sebagai satu kebangkitan generasi baharu yang sedar akan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Ujar beliau, semangat dan roh perjuangan UMNO kini tidak seperti dulu dan kepimpinan perlukan perubahan agar generasi akan datang tidak hanya mewarisi parti atas nama sahaja.

"Saya sebagai ahli selama lebih 50 tahun bermula dari peringkat bawah sampailah Majlis Tertinggi tidak akan rela melihat UMNO terutama di Pasir Salak ini lumpuh.

"Perkhidmatan UMNO kepada rakyat mesti dikembalikan, barulah parti ini dapat berjasa kepada rakyat," katanya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 30 September lepas memutuskan keahlian Tajuddin yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak digantung selama enam tahun.

Media sebelum ini melaporkan, Tajuddin mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mengkritik kepimpinan parti itu selepas beliau digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO.

Pada 27 Jun lalu, Tajuddin mendedahkan wujud akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga dilihat sering bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.