Seni perfileman negara dicemari dengan fikiran liberal - Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Seni perfileman negara kini dicemari dan dipengaruhi dengan pemikiran liberal apabila penggiat seni dilihat hilang sensitiviti terhadap kesucian agama terutama Islam yang sepatutnya dihormati sebagai agama negara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi golongan berfikiran liberal, mereka berpendapat, tiada apa di dalam kehidupan ini yang perlu dihormati.

Menurutnya, bagi golongan itu, semua perkara boleh dijadikan bahan permainan, diperkotak-katikkan malah boleh dihina dan dipersendakan mengikut kemahuan mereka.

"Memang ada sebahagian orang filem yang menganut aliran seni untuk seni. Golongan ini tidak peduli kepada kesan aktiviti seni yang dihasilkan terhadap kerosakan kepercayaan dan tingkah laku penonton. Yang mereka pentingkan adalah kepuasan di samping keuntungan material yang diraih.

"Mereka lebih suka memperbesarkan kejadian-kejadian buruk yang berlaku dalam masyarakat akibat kelemahan manusia biasa. Tindakan mereka tak ubah seperti alat perakam audio visual yang memungut segala-galanya tanpa melalui proses penapisan atau saringan.

"Sedangkan karya seni sepatutnya berperanan membantu ke arah menanam dan menyuburkan nilai-murni yang diperlukan untuk pembangunan negara Madani yang sedang cuba direalisasikan oleh kerajaan demi mencapai kesejahteraan hidup seluruh rakyat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai filem dalam talian berjudul Mentega Terbang yang didakwa bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam yang memegang Mazhab Syafie.

Tambah beliau, penghasilan filem tersebut merupakan satu contoh penyalahgunaan bidang kesenian untuk menyesatkan hamba-hamba ALLAH SWT daripada agama Islam yang suci.

"Setiap warganegara terutama pemimpin dan pembuat dasar perlu bekerjasama bagi memastikan elemen-elemen yang merosakkan agama dan tradisi ketimuran yang baik tidak dibiarkan terus bermaharajalela dan digerakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ini termasuk pembuat filem dan aktiviti seni yang mempersendakan keyakinan beragama rakyat pelbagai kaum di negara kita. Sebagai mufti, sudah tentu saya turut bersama menentang sebarang produk kesenian yang mempersendakan agama saya dan agama-agama lain juga yang menjadi anutan rakyat Malaysia. Kita perlu menghormati semua agama yang ada di negara ini," kata beliau lagi.

Wan Salim berkata, beliau sering kali mengingatkan golongan liberal bahawa sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran supaya memilih perkara yang baik dan menghindari perkara buruk.

"Memang kita perlu menikmati kebebasan, tetapi sebagai manusia, kebebasan kita ada batasnya, tidak boleh melebihi batas undang-undang, hukum agama dan nilai-nilai akhlak murni. Kita bukan haiwan yang bertindak hanya menurut dorongan nafsu semata-mata.

"Bagi umat Islam, mereka terikat dengan peraturan agama dalam segala tindak tanduk mereka dalam kehidupan di dunia ini. Mereka juga dikehendaki percaya kepada kehidupan akhirat yang mana, setiap individu akan menerima nasib masing-masing berdasarkan apa yang dilakukan ketika di dunia," katanya.

Sebelum ini, filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam berikutan karya itu didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.