Felet taja Persatuan Badminton Kedah

Pengarah Urusan Felet International Holding Sdn Bhd, Datuk Teo Tong Wah (tiga kanan) dan Presiden KBA, Datuk Teoh Teng Chor (tiga kiri) pada majlis simbolik serahan penajaan di Alor Setar baru-baru ini.
Pengarah Urusan Felet International Holding Sdn Bhd, Datuk Teo Tong Wah (tiga kanan) dan Presiden KBA, Datuk Teoh Teng Chor (tiga kiri) pada majlis simbolik serahan penajaan di Alor Setar baru-baru ini.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Kedah (KBA) mendapat suntikan motivasi bagi melahirkan lebih ramai pelapis negeri dan negara apabila menerima tajaan syarikat terkemuka, Felet International Holdings Sdn Bhd selama tiga tahun.

Setiausahanya, Goh Yen Yen berkata, tajaan tersebut diberikan kepada 80 pemain di bawah persatuan itu bermula 2023 sehingga 2025.

"Tajaan barangan sukan oleh Felet ini memang sangat membantu dan memberikan ispirasi kepada pasukan badminton Kedah terutamanya pemain dalam menghadapi pelbagai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Kini seramai 51 pemain kami sedang menghadapi kejohanan Junior Elite Tour (JET) siri pertama 2023 di Putrajaya yang bermula pada Rabu," katanya semasa ditemui Sinar Harian di Stadium KBA, dekat sini pada Rabu.

Satu simbolik penyampaian tajaan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Felet International Holding Sdn Bhd, Datuk Teo Tong Wah kepada Presiden KBA, Datuk Teoh Teng Chor baru-baru ini.

Pemain KBA akan menerima tajaan barangan sukan Felet selama tiga tahun.
Pemain KBA akan menerima tajaan barangan sukan Felet selama tiga tahun.

Mengulas lanjut, Yen Yen berkata, Felet juga memberikan diskaun kepada KBA membeli bulu tangkis untuk digunakan pada sesi latihan pada setiap hujung minggu sekaligus membantu mengurangkan kos persatuan tersebut.

"Felet banyak membantu kerana selain menaja raket, baju, stokin dan beberapa kelengkapan lagi, mereka turut membantu memberikan diskaun untuk kami membeli bulu tangkis," ujar beliau yang tidak mendedahkan nilai tajaan tersebut.

Menurutnya, KBA juga berharap pemainnya dapat menyerlah pada JET siri kedua yang bakal diadakan di Negeri Sembilan bagi memastikan layak ke peringkat akhir pada Ogos di Selangor.

"Tahun ini Kedah diundi dalam Kumpulan B pada Kejohanan JET 2023 bersama Perlis, Negeri Sembilan,Putrajaya dan Sabah. Kami sasarkan untuk muncul juara Kumpulan B.

"Prestasi KBA sentiasa memuaskan setiap tahun dan pada tahun lalu, sebanyak 19 pemain layak di pentas final JET KL. Kami mengharapkan kejayaan sama diulang bagi edisi 2023," kata Yen Yen.