JDT terlalu kuat buat KL City

Antara aksi menarik perlawanan JDT menentang KL City dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.
Antara aksi menarik perlawanan JDT menentang KL City dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meneruskan momentum positif dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila menjadikan Kuala Lumpur City (KL City) FC mangsa kedua selepas Terengganu FC (TFC) minggu lalu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras itu, anak buah Esteban Solari menampilkan permainan mantap menyaingi keampuhan daya saing angkatan Bojan Hodak untuk kemenangan 3-0.

Harimau Selatan yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas TFC sekali gus menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, menguasai rentak perlawanan dengan asakan hingga menyaksikan pemain The City Boys, Romel Morales tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-41.

Babak kedua, anak buah Bojan berusaha kembali semula ke dalam permainan, namun angkatan Solari melebarkan penguasaan dengan jaringan minit ke-52 hasil tandukan Endrick Dos Santos yang menyudahkan hantaran Fernando Forestieri.

Gol itu ternyata membangkitkan aura Harimau Selatan yang kemudian meledak satu jaringan pada minit ke-90 dihasilkan bintang muda, Arif Aiman Hanapi yang menyudahkan hantaran Ramadhan Saifullah Usman.

Tiga mata itu membolehkan JDT mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

JDT selepas ini akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Negeri Sembilan FC pada 6 Mac.

Sabah sebelum itu menewaskan Kelantan United FC, 3-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijaringkan Darren Lok minit ke-21, Park Tea-su (26), dan Telmo Castanheira (46), manakala gol sagu hati pelawat dijelmakan Indra Putra Mahayuddin (92).

Tiga mata diraih Sabah membolehkan The Rhinos mengutip enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Sabah selepas ini akan berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching menentang Kuching City FC pada 6 Mac.

Sementara itu, perlawanan Penang FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bandaraya, berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.