Aksi dramatik hujung perlawanan julang Kedah

KDA FC berjaya meraih tiga mata penting ke atas Terengganu FC yang mana diberi tentangan sengit hingga saat akhir. - FOTO KDA FC
KDA FC berjaya meraih tiga mata penting ke atas Terengganu FC yang mana diberi tentangan sengit hingga saat akhir. - FOTO KDA FC
A
A
A

FAZRUL Danel Mohd Nizam muncul wira Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas menjaringkan gol pada penghujung perlawanan kedua Liga Super 2023 untuk menewaskan Terengganu FC 1-0 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Aksi sengit dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sebaik wisel perlawanan dibunyikan seperti yang dijangkakan oleh penyokong bola sepak.

Tuan rumah berpeluang untuk meletakkan pasukan itu di hadapan menerusi tandukan Bojan Ciger hasil sepakan sudut yang diambil oleh Hidalgo namun sedikit melewati palang gol pada minit ke-22.

KDA FC dilihat berjaya mengawal perlawanan melalui hantaran pendek dan Willian Lira turut menguji pada minit ke-39 namun percubaannya melepasi palang gol.

Terengganu FC juga turut menguji kubu Sang Kenari menerusi gandingan Sony Norde, Ivan Mamut dan Nik Muhammad Sharif Haseefy namun tetap tidak membuahkan hasil sehingga tamat 45 minit separuh masa pertama.

Sang Penyu mengadakan asakan pada awal separuh masa kedua dan Adisak Kraisorn yang baru dimasukkan melakukan rembatan deras namun tepat ke dakapam penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke-54.

Sang Kenari yang mendapat sokongan padu 21,700 penyokong kembali menyusun serangan bertali arus ke kubu lawan dan berjaya menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan pada minit ke-89.

Gol menerusi Fazrul Danel berjaya dihasilkan selepas menyambar bola setelah penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya yang cuba digerakkan oleh Lira.