Mangsa banjir di Johor meningkat 7,981 orang

Bandar Kota Tinggi ditengelami banjir pada Rabu.
Bandar Kota Tinggi ditengelami banjir pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir meningkat kepada 7,981 penduduk daripada 2,286 keluarga, yang dipindahkan ke 72 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah, setakat jam 5 petang pada Rabu.

Jumlah tersebut merekodkan peningkatan mendadak berbanding hanya 5,878 penduduk daripada 1,575 keluarga, yang dipindahkan ke 54 PPS yang dibuka di enam daerah terjejas banjir, setakat tengah hari.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, daerah Mersing dan Tangkak menjadi daerah terbaharu terjejas banjir.

Jelasnya, seramai 44 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di dua PPS di Mersing sementara di Tangkak seramai 18 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Katanya, Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir dengan bilangan mangsa seramai 2,408 penduduk daripada 743 keluarga di 27 PPS.

"Kluang pula daerah kedua terjejas dengan mangsa banjir seramai 1,952 penduduk daripada 518 keluarga di 10 PPS, manakala mangsa banjir di Johor Bahru pula seramai 1,888 penduduk daripada 609 mangsa ditempatkan di 11 PPS.

"Kota Tinggi turut merekodkan peningkatan mangsa kepada 1,315 penduduk daripada 307 keluarga di 13 PPS. Seramai 320 mangsa banjir daripada 80 keluarga di lima PPS di Kulai manakala Pontian mempunyai 36 mangsa daripada 11 keluarga di tiga PPS," katanya dalam kenyataan.

Azmi memberitahu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengekalkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas negeri ini sehingga Khamis.

Selain itu jelasnya, sebanyak 15 sungai utama masing-masing empat di Segamat dan Kulai, dua di Tangkak serta masing-masing satu di Johor Bahru, Kluang, Pontian, Kota Tinggi dan Batu Pahat, berada pada paras bahaya.

"Antara sungai tersebut ialah Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.32 meter, Sungai Bandar Segamat pula melepasi 10.56 meter, Sungai Labis melepasi paras 41.52 meter dan Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 8.69 meter.

"Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.36 meter, Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 16.96 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.56 meter.

"Empangan Bekok di Batu Pahat pula merekodkan paras bahaya 19.76 meter manakala Sungai Johor di Kota Tinggi juga melepasi paras bahaya 2.93 meter," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak tujuh jalan raya di negeri membabitkan daerah Kluang, Kulai, Mersing, Batu Pahat dan Johor Bahru ditutup sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh.

Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir ialah Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway), Jalan Batu Pahat-Mersing; Jalan SMK Layang-Layang; Jalan Ulu Tebrau-Ulu Tiram; Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Johor Bahru-Seremban.

Manakala susur Jalan Masai Sesyen 21 di Johor Bahru ditutup akibat tanah runtuh yang berlaku.