Tak perlu retorik, MP diingatkan tumpu isu kawasan

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengingatkan ahli-ahli Parlimen yang berbahas untuk menumpukan isu berbangkit di kawasan masing-masing dan bukannya perkara retorik.

Beliau menegaskan, isu retorik yang dibahaskan tidak melambangkan aspirasi ahli Parlimen pada sesi sidang kali ini.

"Saya ingin menasihati agar masa yang diberikan untuk kita berbahas, cuba tumpukan pada kawasan-kawasan kerana kalau kita lihat retorik-retorik berkaitan, tidak melambangkan aspirasi Yang Berhormat yang hadir dalam dewan yang mulia ini," katanya sebelum memulakan sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Ramli turut menyentuh mengenai cokmar merupakan adalah alat kebesaran yang telah dikurniakan oleh Raja-Raja Melayu dan menjadi simbol kuasa diraja dan seterusnya kuasa Parlimen.

Tanpa cokmar, tiada keabsahan bagi kedua-dua dewan dan persidangan tidak dapat dijalankan.

"Untuk makluman terutama mereka yang baharu di dalam dewan yang mulia ini, ingin saya ingatkan kehadiran cokmar ini adalah sebagaimana dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang melambangkan sembilan Raja-Raja Melayu juga.

"Selain itu tanpa kehadiran cokmar ini, apa yang kita laksanakan di dalam dewan ini tidak ada keabsahannya," katanya.

Sesi sidang Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dan perbahasan Belanjawan 2023.