Amaran angin kencang, laut bergelora

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dijangka berlaku di beberapa perairan negara hingga Jumaat.

MetMalaysia memaklumkan, angin kencang timur kategori kedua berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri." katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, amaran angin kencang kategori pertama juga dikeluarkan dengan angin berkelajuan 40 hingga 50 kmsj berserta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak, Sabah Barat dan Labuan.

"Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi tempoh sama," ujarnya.

Kenyataan itu juga turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut kategori ketiga bagi aktiviti perkapalan iaitu angin berkelajuan 60 kmsj dengan ombak melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur laut Tioman, Condore, utara Bunguran dan barat Reef North bagi tempoh sama.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," katanya.

Amaran kategori kedua pula dengan angin kencang berkelajuan 50 sehingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Samui, selatan Bunguran, timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan barat Palawan.

"Ia berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," ujarnya.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama kelajuan angin 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Timur Palawan dan Sulu

Tambahnya, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.