Sambutan hangat Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023

Ketua Pegawai Eksekutif Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023, Datuk Anas Yusof Sulaiman (dua dari kiri) menyerahkan jersi kepada Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad sebagai simbolik majlis pra pelancaran kejohanan di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Amrin
Ketua Pegawai Eksekutif Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023, Datuk Anas Yusof Sulaiman (dua dari kiri) menyerahkan jersi kepada Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad sebagai simbolik majlis pra pelancaran kejohanan di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Amrin
A
A
A

JAGUH berbasikal dalam acara trek mahupun lebuh raya sudah dimiliki, kini Malaysia menanti lahirnya pelumba bertaraf dunia dalam saingan cyclocross atau nama singkatannya CX - perlumbaan berbasikal berhalangan.

Segala-galanya tampak tidak mustahil untuk direalisasikan suatu hari nanti apabila Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia tampil menganjurkan Kejohanan Cyclocross Malaysia 2023 buat julung kalinya.

Ketua Pegawai Operasi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia, Mohd Amrin Zairy Adham berkata, kejohanan anjuran kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu akan bermula di Taman Rekreasi D R Seenivasagam di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 Mac ini.

“Kami mahu mempromosi cyclocross sebab ia unik, perlumbaan ini membabitkan gabungan tiga elemen. Ia sesuatu yang jarang dapat kita lihat kerana sering dianjurkan di Eropah dan Amerika Syarikat dari Oktober hingga Februari mengikut kalendar UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa).

“Kami juga harap kejohanan ini dapat jadi platform melahirkan pelumba berbakat untuk beraksi di persada dunia,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pra pelancaran kejohanan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Selasa.

Pada masa sama, beliau berkata, kejohanan yang mendapat sokongan daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai rakan pengangkutan rel rasmi itu mendapat sambutan menggalakkan apabila permohonan peserta bagi perlumbaan di Ipoh nanti melepasi sasaran 1,000 penyertaan.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan kami walaupun penyertaan pada pusingan awal di Ipoh nanti hanya melibatkan peserta tempatan. Jumlah itu sudah dianggap baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya mempunyai perancangan untuk membawa masuk Kejohanan Dunia CX dalam tempoh kurang lima tahun akan datang.

“Jangkaan itu dalam masa tiga hingga lima tahun, bergantung kepada kelayakan untuk menganjurkannya. Buat masa ini kita lebih memberi penekanan mempromosi cyclocross yang mempunyai peminat tersendiri,” jelasnya.

Selepas Perak, Selangor akan mengambil alih sebagai venue kejohanan sebelum saingan antarabangsa diadakan di Bagan Datuk, Perak yang bakal disertai peserta dari luar negara dengan tarikh akan dimuktamadkan kelak.

Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap perlumbaan berjumlah RM16,000 dan pemenang juga bakal menerima jersi bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada setiap perlumbaan dan peserta boleh mendaftar terus dengan melayari laman sesawang www.sports360.my atau www.bikeaway.com.my atau berhubung secara langsung dengan sekretariat di talian 018-9097203.