Syor pertimbang rundingan terus libat projek khas

Willie Mongin - Foto fail Bernama
Willie Mongin - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen kerajaan menyarankan kaedah rundingan terus masih boleh digunakan untuk projek khas bagi memastikan pembangunan khususnya kemudahan rakyat dapat disegerakan.

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata, tidak salah untuk kerajaan melaksanakan kaedah rundingan terus untuk projek-projek tertentu.

“Saya menyokong penuh dan menerima baik hasrat kerajaan untuk memastikan ketelusan dalam perolehan kerajaan dan juga pelaksanaan perolehan yang mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik untuk mengelakkan rasuah dan ketirisan.

“Namun saya menyarankan kaedah rundingan terus masih boleh digunakan untuk projek khas dan tender terbuka juga bakal melambatkan proses pelaksanaan projek pembangunan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Tambahnya, apa yang penting untuk dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah membuat rombakan proses perolehan dan tatapelaksanaan projek untuk mengelak berlakunya ketirisan bagi kaedah perolehan secara terus.

“Acap kali kita lihat projek kerajaan lulus tahun ini tapi hanya boleh dilaksanakan lepas dua tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja merugikan masa kerajaan dan juga rakyat tetapi turut menyebabkan kos pelaksanaan projek meningkat.

Dalam perkembangan lain, Willie turut mencadangkan supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut menjalin kerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen bagi pengagihan bantuan khususnya bantuan banjir.

Ujarnya, langkah itu perlu untuk mengelak berlakunya kelewatan dalam pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas.