Padah tangkap 200 kg hasil laut di kawasan larangan

Bot kelas B1 dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan.
Bot kelas B1 dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima nelayan warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang kerana disyaki menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan berusia lingkungan 38 hingga 63 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah bot nelayan tempatan pada jam 7.55 malam, Isnin.

Menurutnya, kelima-lima mereka ditahan semasa pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 dalam Op Pertiwi dan Op Tanjung.

"Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Kurau, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 6.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang lapan batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.

"Oleh itu, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen iaitu kurang lapan batu nautika dari Pulau Kendi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, selain bot, pihaknya turut merampas 200 kilogram hasil laut.

Lima nelayan tempatan ditahan kerana disyaki menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Lima nelayan tempatan ditahan kerana disyaki menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Semua tangkapan, hasil laut serta bot dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Penahanan kesemua nelayan ini adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia.

"Kita juga tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia," katanya.

Tambah beliau lagi, sebarang aduan, salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.