'Kos sara hidup di Gua Musang macam KL'

Sungguhpun berada di kawasan pedalaman Kelantan, Gua Musang merupakan jajahan yang dianggap mempunyai kos sara hidup tertinggi di negeri ini berbanding lokasi lain. (Gambar kecil dalam : Mohd Syahbuddin, Mohd Syahdan dan Noriah)
Sungguhpun berada di kawasan pedalaman Kelantan, Gua Musang merupakan jajahan yang dianggap mempunyai kos sara hidup tertinggi di negeri ini berbanding lokasi lain. (Gambar kecil dalam : Mohd Syahbuddin, Mohd Syahdan dan Noriah)
A
A
A

GUA MUSANG - Sungguhpun berada di kawasan pedalaman Kelantan, jajahan Gua Musang dianggap mempunyai kos sara hidup tertinggi di negeri ini berbanding lokasi lain.

Tinjaun Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk tempatan mengakui perkara tersebut malah ada menyifatkan kos sara hidup di sini setaraf dengan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Mohd Syahdan Hussin, 33, berkata, mereka sudah sebati berdepan dengan situasi barang mahal, sewa rumah tinggi malah ia sudah menjadi asam garam kehidupan walaupun orang sering melabelkan Gua Musang sebagai tempat 'jin bertendang' kerana kedudukannya di hulu Kelantan.

"Di sini hendak cari rumah sewa bawah RM500 sukar, kalau ada pun sekitar RM600 ke atas dan ada yang mencecah RM1,000 sebulan. Nampak sahaja kawasan ini macam dikelilingi bukit-bukau, gua namun harga kayangan.

"Itu belum lagi bercerita bab harga makanan. Nasi pagi sudah cecah RM5 hingga RM10 tapi kami sudah biasa," katanya.

Dia yang berniaga di sini memberitahu, situasi itu membuatkan orang dari luar Gua Musang akan terkejut apabila mendapat tahu perkara tersebut.

Bagi Noriah Ismail, 31, yang merupakan seorang usahawan berkata, nasi kerabu berharga RM15 sebungkus pada waktu pagi sudah menjadi perkara biasa buatnya dan keluarga.

Ujarnya, setiap hari sekitar RM300 dibelanjakan untuk makanan dari pagi sampai ke malam untuk keluarganya.

"Disebabkan kekangan kerja, kami sekeluarga terpaksa membungkus makanan. Jumlah itu sudah biasa, sekali fikir sudah macam tinggal di Kuala Lumpur," katanya.

Noriah menambah, itu belum lagi bercakap tentang harga ikan, ayam, sayur serta barangan lain.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, isu kos sara hidup tinggi di Gua Musang bukan perkara luar biasa kerana disebabkan beberapa faktor.

No Image Caption

Beliau memberitahu, antara faktor utama ialah lokasi kerana bahan mentah tidak terus sampai ke Gua Musang, sebagai contoh ikan dari Tok Bali, Pasir Puteh terpaksa melalui orang tengah sehingga menjadikan harganya tinggi.

"Kedua pengangkutan logistik juga memainkan peranan kerana kita tahu jarak Gua Musang hendak sampai ke Kota Bharu dua jam setengah.

"Kalau kita tengok semua barang-barang dari Kuala Lumpur akan ke Kota Bharu terlebih dahulu kemudian balik ke Gua Musang walaupun melalui kawasan ini pada awalnya.

"Itulah yang menyebabkan pengendalian berganda dan kos akan meningkat. Seterusnya kita sedia maklum Gua Musang bukan tempat pengeluar makanan sebab itu terpaksa ambil sumber makanan dari luar," katanya.

Selain itu, Gua Musang dikenali sebagai bandar transit kerana kedudukannya sebagai pintu masuk utama ke negeri ini dan sering menjadi tempat istirehat sebelum meneruskan semula perjalanan ke destinasi seterusnya kerana keadaan bentuk muka buminya yang menarik.