Penubuhan Kaukus Bipartisan langkah baik

Young Syefura (kiri) pada sesi pertemuan dengan Johari (dua dari kiri) bagi membincangkan mengenai penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen Muda pada Isnin.
Young Syefura (kiri) pada sesi pertemuan dengan Johari (dua dari kiri) bagi membincangkan mengenai penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen Muda pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN – Penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen Muda bagi membentuk jawatankuasa kecil untuk memperjuangkan dan membawa isu berkaitan anak muda ke peringkat Parlimen disifatkan sebagai satu langkah yang baik.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menjelaskan, langkah penubuhan kaukus itu bersesuaian kerana terdapat ramai golongan muda menjadi ahli Dewan Rakyat pada penggal kali ini.

"Kaukus ini akan menjadi satu jawatankuasa kecil yang akan memperjuangkan dan membawa isu-isu berkaitan dengan anak muda ke peringkat Parlimen agar polisi yang baik dapat digubal untuk anak muda.

“Diharap akan disertai oleh ahli-ahli Parlimen muda daripada kedua-dua belah pihak,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Young Syefura membincangkan mengenai penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen Muda menerusi satu pertemuan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul pada Isnin.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

Dalam perkembangan sama, Young Syefura turut mengadakan perbincangan dan mendengar pendapat mereka berkaitan dengan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, selain isu hak kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkesempatan bertemu dengan wakil daripada mahasiswa Universiti Malaya dan rombongan Penang Youth Development Center di pejabat Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga disertai oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan Ahli Dewan Negeri Pahang, Ho Chi Yang.

Young Syefura memaklumkan Angkatan Muda Harapan pada manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berjanji akan memansuhkan AUKU.

"Jadi, kami komited dengan manifesto ini. Wakil Angkatan Muda Harapan akan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi untuk berbincang mengenai isu ini dalam jangka masa terdekat,” katanya.