Majlis Ulama UMNO tak bincang hubungan MN

Dusuki (duduk, tengah) ketika sidang media pada Isnin.
Dusuki (duduk, tengah) ketika sidang media pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat pertama Majlis Ulama UMNO (MUU) pada Isnin tidak menyentuh perkara berkaitan hubungan dengan Muafakat Nasional (MN).

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, apa yang menjadi fokus utama ketika mesyuarat tersebut adalah berkaitan dengan pengembangan syiar Islam di peringkat parti dan nasional.

Menurutnya, ia sebagai langkah mewujudkan kerjasama antara pemimpin politik dan ulama.

“Tak timbul benda ini (soal MN), ikut menjadi tanggungjawab sosial menyelesaikan masalah Islam dan umat dan masalah negara Islam.

“Selama ini dilihat golongan agama agak di pinggiran, jadi sekarang kita bersama-sama untuk memperkukuh kerjasama dan penyatuan itu,” katanya ketika sidang akhbar Mesyuarat Tertinggi MUU kali pertama di Bangunan Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Dusuki menambah, mesyuarat tersebut membincangkan 30 mercu tanda MUU berkenaan Fasa Permulaan 2023-2024 yang merangkumi perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang.

“Pertamanya ialah Program Halaqah yang akan menjadi program tetap pentarbiahan ahli parti untuk dilaksanakan di bahagian dan cawangan.

“Kedua, mengadakan Sidang Muzakarah Meja Bulat MUU yang akan dikendalikan oleh panel majlis ulama. Ia adalah medan untuk mengenal pasti isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusnya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah,” kata beliau.

Ujarnya, majlis tersebut juga menyemarakkan peranan Pusat Islam WTC dengan menjadikan Surau Rahman yang bertempat di dalam kompleks itu sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala.

Dusuki turut mengalu-alukan penyertaan lepasan pengajian Islam dari institusi pengajian tinggi (IPT) atau tradisional seperti pondok untuk menyertainya.

“Menjadi harapan MUU untuk memainkan peranannya dalam parti dan untuk kepentingan ummah selain sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam,” jelasnya.