Lelaki parah diserang dengan parang

Seorang lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan yang dilaporkan berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, di sini pada Sabtu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan yang dilaporkan berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, di sini pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki cedera parah selepas diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian rusuhan yang dilaporkan berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, 44, mengalami kecederaan di kepala dan perut telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 23 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati punca rusuhan itu adalah disebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan suspek.

"Kita masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Kesesakan iaitu merusuh menggunakan senjata," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Beng Yeow, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada IPD Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Azri di talian 010-7647789," katanya.