Lebih banyak gerai, restoran tawar Menu Rahmah bulan depan

Salahuddin (empat dari kiri) melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera R&R Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) dan mengadakan tinjauan serta ramah mesra bersama rakan niaga.
Salahuddin (empat dari kiri) melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera R&R Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) dan mengadakan tinjauan serta ramah mesra bersama rakan niaga.
A
A
A

DENGKIL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan lebih banyak kedai makan dan restoran di seluruh negara akan menyertai inisiatif Menu Rahmah pada bulan hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini sebanyak lebih 700 gerai dan restoran menyediakan Menu Rahmah melibatkan 215 di Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuhraya dan 540 premis di seluruh negara.

Menurutnya, ia tidak termasuk penyertaan daripada beberapa restoran makanan segera seperti Burger King dan Marrybrown.

"Bagaimanapun, pada bulan hadapan jumlah tersebut akan meningkat sebanyak dua kali ganda. Inisiatif itu adalah bagi membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia.

"Menu Rahmah boleh dinikmati dengan harga RM5 tanpa menjejaskan kuantiti dan kualiti makanan yand disediakan. Setakat ini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan daripada rakyat berhubung Menu Rahmah, " katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) dan mengadakan tinjauan serta ramah mesra bersama rakan niaga.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Salahuddin ketika sidang akhbar selepas melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat R&R Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) pada Isnin.
Salahuddin ketika sidang akhbar selepas melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat R&R Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) pada Isnin.

Tambah Salahuddin, pihaknya akan mencari jalan bagi meringankan beban pemilik gerai makanan terhadap kos penyediaan Menu Rahmah dengan mengawal harga barangan asas.

" Kita ada jualan Rahmah di lapan atau sembilan pasaraya dengan menawarkan harga barangan asas lebih murah berbanding tempat lain.

"Selain itu, antara usaha lain adalah saya akan cuba berbincang dengan sektor pembuatan. Mungkin, mereka juga boleh memberi harga Rahmah kepada pemilik kedai," jelasnya.

Sementara itu, Alexander menyasarkan lebih 100 gerai makanan beroperasi di kawasan R&R di sepanjang 1,130kilometer rangkaian lebuh raya berkenaan menjelang Mac ini.

Katanya, fasa pertama Menu Rahmah diperkenalkan untuk pengguna lebuh raya berkenaan sejak 23 Februari lalu di beberapa R&R serta Hentian Sebelah di wilayah Tengah Lebuh Raya PLUS.

"Bagi fasa kedua, dijangka akan dilaksanakan sebelum 2 Mac dan manakakla fasa ketiga yang melibatkan wilayah Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum 9 Mac," jelasnya.

Beliau memberitahu, setakat ini 215 gerai menawarkan menu tersebut di sepanjang lebuh raya di seluruh negara dengan 101 gerai di sepanjang lebuh raya Plus.