Presiden Mexico kongsi gambar bunian

Kelibat didakwa sebagai 'alux' yang dirakam di Semenanjung Yucatan.
Kelibat didakwa sebagai 'alux' yang dirakam di Semenanjung Yucatan.
A
A
A

MEXICO CITY - Presiden Mexico mengejutkan pengikut media sosialnya apabila menyiarkan gambar makhluk mitos atau bunian yang kononnya berjaya dirakam berhampiran tapak arkeologi tamadun purba Maya di Ek Balam.

Andres Manuel Lopez Obrador tidak bergurau apabila menyatakan makhluk tersebut adalah 'alux' iaitu semangat atau makhluk hutan yang nakal dalam cerita rakyat Maya.

"Ia (gambar) diambil tiga hari lalu oleh seorang jurutera dan kelihatan amat mirip dengan 'alux'," ciapnya di Twitter.

Gambar tersebut didakwa dirakam seorang jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan landasan kereta api di Semenanjung Yucatan.

Bagaimanapun, carian di internet menemukan gambar dikongsi Lopez Obrador sebenarnya pernah dimuat naik di media sosial pada awal Februari 2021.

Menurut kepercayaan tradisional Maya, 'alux' adalah makhluk yang gemar mempermainkan dan suka menyembunyikan barang kepunyaan manusia. - Agensi