Polis tahan dua penagih disyaki ragut wanita

Video wanita menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut oleh dua lelaki tular beberapa hari lalu.
Video wanita menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut oleh dua lelaki tular beberapa hari lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua penagih dadah pada Sabtu bagi membantu siasatan kes ragut seorang wanita berusia 54 tahun di Jalan Kelochor di sini.

Wanita berkenaan membuat laporan polis selepas kejadian pada 16 Februari kira-kira jam 10.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, ketika ditahan lelaki berusia 31 tahun dan 39 tahun itu didapati positif dadah.

"Mereka juga dikesan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini tular video seorang wanita yang sedang menunggang motosikal berseorangan di Jalan Kelochor diragut oleh dua lelaki.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa terjatuh dan mengalami luka kecil di lengan dan tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Mohd Rosdi meminta masyarakat tidak membuat spekulasi terhadap kejadian berkenaan dan memberi kerjasama kepada polis.

Orang ramai yang melihat kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada Inspektor Nur Asminda Mohd Apandi talian 0172509251 atau 09-7752200.