Ban Mero terlalu unggul

Amirol Ariffin (tengah) memenangi Tali Pinggang Johari Ghani pada Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa 2023 yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Amirol Ariffin (tengah) memenangi Tali Pinggang Johari Ghani pada Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa 2023 yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PENINJU kelab Tomoi Kuda Merah PDRM, Amirol Ariffin hanya memerlukan satu minit untuk menumbangkan wakil Thailand, Chon Ra San sekali gus memenangi Tali Pinggang Johari Ghani dalam Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa pada Jumaat.

Dalam aksi hari pertama yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, Amirol atau lebih dikenali sebagai Ban Mero melepaskan tiga pukulan untuk menumbangkan Ra San dengan keputusan knock out (KO).

Menurut Ban Mero, dia tidak menyangka dapat menang mudah, namun gembira dengan kejayaan tersebut selepas empat tahun berehat kerana menumpukan karier kejurulatihan bersama pasukan Muay Thai PDRM di Pulapol Kuala Lumpur.

"Saya sendiri terkejut dan tidak puas bertarung sebenarnya dalam kemenangan mudah ini.

"Namun, ia tetap kemenangan berharga untuk saya dan ia Tali Pinggang Johari Ghani pertama yang saya menangi," katanya kepada Sukan Sinar selepas perlawanan.

Selain Tali Pinggang Johari Ghani, enam lagi perlawanan berlangsung pada hari pertama kejohanan tersebut membabitkan empat perlawanan merebut tali pinggang dan dua perlawanan masing-masing untuk kategori 48 kilogram (kg) dan 70kg.

Perlawanan pembukaan menyaksikan pertarungan dua petinju cilik yang menyaksikan Farish Hakimi dari kelab Kuda Merah berjaya menewaskan Aryan Hakim dari Kelab KL7 Kuala Lumpur.

Dalam kategori 48 kg pula, wakil kelab Red Wolves Muay Thai, Muhd Ridzuan Makueta menewaskan Muhammad Haris Haiqal daripada kelab Sampuri Muay Thai Gym menerusi kiraan mata.

Manakala, Yazlisyam Amizan dari kelab Selendang Kuning Studio menang menerusi technical knock-out (TKO) ke atas Mohd Nafizi Mat Nasir dari kelab Chiko Muay Thai Fitness dalam kategori 70kg.

Peninju kelab AKLS Akademi Muay Thai, Akid pula menepati ramalan selepas menewaskan Azahari Ishak dari kelab Raja Lebah untuk memenangi tali pinggang penaja.

Muhd Khairul Aizat Samsool yang pernah beraksi untuk negara dalam kejohanan dunia di Abu Dhabi dan Thailand tahun lalu tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Amin Apollo dari kelab Dragon Xdiscovery menerusi pukulan KO di pusingan kedua untuk merangkul Tali Pinggang Azman Bidin.

Pertarungan bagi merebut Tali Pinggang Celcius pula menjadi milik Muhammad Hasril Nazmi Nazri yang mewakili kelab Rizq Muay Thai menewaskan petinju kelab Madness Muay Thai, Mad Yie menerusi kiraan mata.

Seramai 14 peninju lagi bakal beradu kekuatan untuk merebut lima baki tali pinggang pada pertarungan hari kedua pada Sabtu.