MOM sifatkan Belanjawan 2023 mesra sukan

Norza
Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai mesra masyarakat sukan, dengan dua elemen yang berobjektifkan penyertaan meluas sektor swasta.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dirangka khas bagi menggalakkan tajaan sektor swasta untuk tujuan pembangunan sukan yang berteraskan perpaduan.

“Belanjawan 2023 bersifat mesra masyarakat sukan kerana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menyediakan dana untuk menggalakkan pembabitan sektor swasta tetapi juga mengenakan potongan cukai bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada badan bukan berasaskan keuntungan yang boleh membangunkan sukan di peringkat akar umbi.

“Adalah jelas bahawa peruntukan sukan dalam Belanjawan 2023 sejajar dengan hasrat MOM dalam mempromosi nilai-nilai murni sejagat menerusi industri sukan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Norza berkata, dana geran padanan sejumlah RM 50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk sukan yang berteraskan perpaduan dan penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan menggambarkan iltizam Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan sukan sebagai ejen penyatuan sebenar.

“Peruntukan RM 324 juta untuk menambah baik program latihan dan kemudahan sukan sedia ada juga adalah penting untuk penyediaan Kontinjen Malaysia yang ampuh menjelang dua Temasya Pelbagai Sukan utama tahun ini, iaitu Sukan Asia Tenggara Ke-32 di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei 2023 dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China pada 23 September hingga 8 Oktober 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat yang akan dinikmati oleh individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan harus membuka laluan kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk menjalin kerjasama erat dengan sektor swasta.

“Ini juga selari dengan saranan MOM agar satu mekanisme baharu digarap bagi memastikan penaja menerima pengecualian cukai tertentu apabila menyumbang kepada industri sukan.”

Dalam pembentangan di Dewan Rakyat, Anwar menganggap sukan sebagai satu wahana yang ampuh dalam kalangan rakyat yang rencam kaum dan agama.

Menurut Norza, dana RM 5 juta yang dikhaskan untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula 2023 berserta insentif cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara

menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu para atlet menguruskan kehidupan selepas persaraan.

“MOM berserta seluruh warga sukan tanah air berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah membentangkan Bajet 2023 bersifat sejagat dengan mengutamakan program-program berteraskan perpaduan serta membela nasib atlet,” ujarnya.