Kastam Sabah patahkan cubaan seludup arak, beras

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu.
Mohd Nasir (tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup masuk sebuah kontena minuman keras dan dua kontena beras bernilai RM158,000, serta duti dan cukai berjumlah RM375,600, melibatkan dua kes, pada Rabu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, dalam kes pertama di Pelabuhan Sepanggar di sini, hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas, anggotanya menahan sebuah kontena berisi minuman keras cuba diseludup masuk pada 9.15 pagi.

"Pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan telah menjumpai sejumlah 23,520 liter minuman keras jenis bir bernilai RM85,200 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM346,500,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, kes kedua juga di pelabuhan sama dan anggotanya menahan dua kontena berisi beras pada 9.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal menemukan 20,500 kilogram (kg) beras bernilai RM37,500 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM14,900 dalam kontena pertama, manakala dalam kontena kedua ditemukan sebanyak 20,500 kg beras pulut bernilai RM35,300 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM14,200.

"Modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain seperti minuman ringan dan kacang hijau bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan 52 Akta Kastam 1967.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan kegiatan tersebut. - Bernama