Mangsa gempa Turkiye sebak nikmati kuru fasulye

Kumpulan sukarelawan bersama penduduk tempatan menyediakan masakan panas untuk dihidangkan kepada kira-kira 200 mangsa gempa bumi yang terjejas di sekitar Hatay, Turkiye.
Kumpulan sukarelawan bersama penduduk tempatan menyediakan masakan panas untuk dihidangkan kepada kira-kira 200 mangsa gempa bumi yang terjejas di sekitar Hatay, Turkiye.
A
A
A

KEADAAN cuaca sejuk antara 2 hingga 5 darjah celcius menyebabkan kebanyakan mangsa gempa bumi yang terjejas di kawasan sekitar Hatay, Turkiye mengharapkan hidangan panas untuk terus bertahan.

Prihatin dengan nasib menimpa mereka, kumpulan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia bersama NGO tempatan dan penduduk setempat mengambil inisiatif memasak makanan panas menggunakan dapur kayu untuk dihidangkan kepada kira-kira 200 penduduk terjejas akibat bencana itu.

Timbalan Pengarah Iman Care, Abdul Muhaimin Muhammed berkata, kumpulan itu mula menyediakan hidangan panas makanan tempatan yang digemari penduduk sejak awal pagi.

"Cuaca di sini sangat sejuk dan mereka memang mengharapkan makanan yang panas, sebab itu kami ambil inisiatif menyediakan makanan panas iaitu kuru fasulye iaitu nasi putih, kambing dan kacang untuk menggembirakan mereka.

"Sebenarnya situasi di sini amat mencabar dengan suhu sekitar 2 darjah celcius pada jam 7 pagi, kami telah mula menyiapkan kuru fasuliye untuk mereka.

"Perasaan penat selama kira-kira lima jam menyiapkan juadah hilang sebaik melihat mereka menikmati makanan yang kami sediakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Abdul Muhaimin yang juga Ketua Delegasi Misi Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama International Youth Forum (IYF).

Sementara itu, seorang penduduk, Hakki Alkan, 50, berkata, dia tidak dapat menahan rasa sebak apabila menikmati masakan panas yang disediakan.

Hanya ucapan terima kasih dan rasa syukur mampu diucapkan sebaik melihat hidangan makanan tempatan itu dimasak khas untuk mereka.

Sebahagian sukarelawan menyediakan masakan panas yang dimasak menggunakan dapur kayu untuk dihidangkan kepada kira-kira 200 mangsa gempa bumi yang terjejas di sekitar Hatay, Turkiye.
Sebahagian sukarelawan menyediakan masakan panas yang dimasak menggunakan dapur kayu untuk dihidangkan kepada kira-kira 200 mangsa gempa bumi yang terjejas di sekitar Hatay, Turkiye.

Katanya, dia bersama penduduk yang lain sememangnya mengharapkan hidangan itu untuk memanaskan badan berikutan keadaan cuaca yang amat sejuk.

"Terima kasih kepada semua yang membantu kami di sini dan jasa anda semua tidak akan kami lupakan," katanya yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana tersebut.

Walaupun masih berduka dengan bencana yang melanda pada 6 Februari lalu, namun senyuman masih terukir pada wajah mereka yang sememangnya mengharapkan makanan panas.

Kebanyakan penduduk terutama kanak-kanak di Kampung Tayfursokmen yang terletak di wilayah Reyhanli, Hatay, Turkiye setia menanti di kawasan khemah sebaik mengetahui sukarelawan sedang menyiapkan makanan buat mereka.

Seorang kanak-kanak, Baris Gokcen, 10, berkata, dia bersama beberapa rakannya mula beratur di kawasan berkenaan sejak jam 7 pagi kerana tidak mahu terlepas menikmati hidangan istimewa itu.

"Walaupun ambil masa yang lama tetapi saya bersama kawan-kawan tetap tunggu dan lihat mereka memasak untuk kami," katanya.