Siti Nordiana, Khai Bahar menang Anugerah Top Top MeleTOP AME2019

A
A

PENYANYI, Siti Nordiana mencipta kenangan manis apabila Anugerah MeleTOP ERA 2019 menobatkan namanya sebagai pemenang Top Top MeleTOP Wanita.

Siti Nordiana sebelum itu membawa pulang sebuah trofi menerusi Hos MeleTOP sekali gus menewaskan finalis lain iaitu, Alif Satar, Jihan Muse, Sherry dan Zizan Razak.

“Alhamdulillah syukur dengan kemenangan ini. Saya masih lagi terkejut kerana tidak menjangka akan menang.

“Saya pun tidak menyuruh peminat saya untuk meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mana-mana kategori. Tetapi, mereka sendiri yang menjalankan tugas undi saya.

“Oleh itu, terima kasih saya ucapkan kepada peminat saya,” katanya terharu.

Manakala bagi kategori Top Top MeleTOP Lelaki masih lagi menjadi milik penyanyi, Khai Bahar, dua tahun berturut-turut selain membawa pulang sebuah trofi lagi menerusi Penyanyi MeleTOP.

“Ini adalah permainan antara kelab peminat setiap artis. Dapat mengalahkan nama-nama besar bukan bermakna saya lebih bagus daripada mereka.

“Bagaimanapun, undian peminat membuktikan mereka masih memberi kepercayaan kepada saya. Syukur tidak terhingga kepada kelab peminat saya dan sebenarnya kemenangan ini untuk mereka,” ujar Khai.

Pada kemenangan itu, Siti Nordiana dan Khai membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta sebuah trofi.

Selain itu, AME 2019 yang berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dihoskan oleh pengacara popular, Neelofa, Jihan Muse dan Nabil Ahmad turut menyaksikan pelakon Syafiq Kyle yang disebut-sebut bakal menyandang gelaran Top Top MeleTOP hanya berjaya membawa pulang tiga buah trofi menerusi kategori Fesyen, Pelakon TV dan Bintang Filem.

Untuk kesemua 16 buah kategori yang dipertandingkan, pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta sebuah trofi. Setiap pemenang dipilih berdasarkan undian tertinggi di kalangan calon Top 5 bagi setiap kategori.

Tampil dengan tema Yang Legit, Yang Legend, anugerah itu menampilkan persembahan daripada Ayda Jebat, Hael Husaini, Andi Bernadee, Exists, Misha Omar dan ramai lagi.

Berikut senarai penuh pemenang:

Fesyen: Syafiq Kyle

Artis Baharu: Eyra Hazali

Couple: Fazura & Fattah Amin

Si Cilik: Yusoff Al Qardawi

Program: Sepahtu Reunion Live Al-Puasa

Artis Lawak: Jep

Hos: Siti Nordiana

Program Radio: JoHaRa Pagi ERA

Penyampai Radio: Johan

Drama: Lelaki Kiriman Tuhan

Pelakon TV: Syafiq Kyle

Grup/Duo: Hael Husaini & Dayang Nurfaizah

Penyanyi: Khai Bahar

Lagu: Jatuh Bangun, Haqiem Rusli

Filem: Munafik 2

Bintang Filem: Syafiq Kyle