Lelaki ugut bunuh ibu dipenjara 10 bulan

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Tergamak mengugut bunuh ibu sendiri, seorang lelaki dihukum penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tampin di sini pada Jumaat.

Majistret, Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azuandi Sitam, 30, selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menakutkan ibunya yang berusia 68 tahun secara jenayah dengan ugutan mahu membunuhnya.

Kesalahan itu dilakukan pada 21 Februari lalu kira-kira jam 10.30 pagi di kawasan luar rumahnya di Felda Jelai 1, Gemas di Tampin.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum dan tertuduh juga memohon maaf atas kesalahan dilakukan.

Berdasarkan fakta kes, ibu tertuduh serta seorang lagi anak lelaki dan menantu perempuan sedang mengemas di kawasan luar rumah.

Namun secara tiba-tiba, tertuduh memarahi ketiga-tiga ahli keluarganya itu kerana membuat bising.

Ibu tertuduh telah meminta supaya bertenang kerana malu dengan jiran-jiran yang melihat, namun tertuduh mengamuk dan memarahi mangsa.

Selain itu tertuduh turut mengacu sebilah pisau pemotong daging serta mengeluarkan kata-kata ugutan kepadanya.