Gempa bumi Turkiye: 'Kami harap bencana tak berulang'

Ali (kiri) dan Aishah (dua dari kanan) bersama adik-beradik dan sepupu ketika ditemui di rumah bapa saudara mereka di Reyhanli, Turkiye.
Ali (kiri) dan Aishah (dua dari kanan) bersama adik-beradik dan sepupu ketika ditemui di rumah bapa saudara mereka di Reyhanli, Turkiye.
A
A
A

REYHANLI, TURKIYE - Kanak-kanak pelarian Syria yang menetap di negara ini berdoa agar kejadian gempa bumi yang memusnahkan kediaman mereka tidak terus berulang.

Ini kerana gempa bumi itu bukan hanya mendatangkan kemusnahan harta benda, malah turut meninggalkan kesan trauma sehingga ke hari ini walaupun kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter itu sudah 19 hari berlalu.

Bahkan bunyi lori yang melalui kawasan tempat tinggal sementara mereka di bandar ini turut membuatkan mereka resah dan ketakutan.

"Saya takut bila dengar bunyi yang kuat," kata Ali Al-Yunis, 10, kepada Sinar Harian.

Ali Al-Yunis
Ali Al-Yunis

Gempa bumi pada 6 Februari lalu yang berpusat di Kahramanmaras telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 43,556 nyawa dan jumlah itu dijangka bertambah memandangkan usaha mencari mangsa di dalam runtuhan masih diteruskan.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan majoriti mereka hilang tempat tinggal.

Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

Kata Ali lagi, dia juga berasa sedih selepas abang sulungnya, Mahmud, 17, terkorban biarpun sebelum itu berjaya menyelamatkan diri.

Menurutnya, Mahmud sempat membantu ibunya yang hamil enam bulan bersama enam adik-beradik menyelamatkan diri dari kediaman mereka di tingkat dua bangunan setinggi lima tingkat.

Malah sebelum terkorban, Mahmud sempat menyelamatkan dua adiknya daripada ditimpa tangki air yang jatuh.

"Bagaimanapun Mahmud ditimpa bangunan bersebelahan yang runtuh secara tiba-tiba.

"Kejadian berlaku di depan mata kam, ibu meraung tanpa henti dan mengharapkan orang ramai menyelamatkan Mahmud," cerita Ali.

Turkiye menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka berlindung di wilayah bencana.

Pihak berkuasa Turkiye pula memberitahu ada sebahagian daripada pelarian Syria secara sukarela kembali ke negara asal kerana tidak lagi mempunyai kediaman di sini.

Sepupu Ali, Aishah Al-Yunis, 12, berkata, biarpun tidak kehilangan saudara terdekat tetapi lima rakan sepermainannya yang menetap dalam bangunan kediaman sama terkorban.

Aishah Al-Yunis
Aishah Al-Yunis

Dia mengetahui nasib menimpa rakan-rakanya itu kerana hanya keluarganya yang terselamat dalam tragedi berdarah berkenaan.

Ketika kejadian, keluarga Aishah yang menetap di tingkat paling bawah bangunan lima tingkat, sempat melarikan diri sebaik berlaku gegaran pertama.

Gegaran kedua menyebabkan bangunan kediaman Aishah runtuh dan dihempap dua bangunan bersebelahannya.

"Sebab itu saya tidak mahu kejadian ini terus berulang. Saya sangat takut," katanya.

Gempa melanda Turkiye disebut-sebut sebagai yang terbesar dalam 100 tahun terakhir sejak 1939.

Kurang dua minggu, dua gempa bumi telah menggegarkan wilayah Hatay di selatan Turkiye pada Isnin.

Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye melaporkan, gempa pertama berukuran 6.4 pada skala Richter berlaku pada jam 8.04 malam (waktu tempatan) di daerah Defne manakala satu lagi gempa bermagnitud 5.8 berlaku tiga minit kemudian, berpusat di wilayah Samandag.

Keluarga Ali dan Aishah antara pelarian Syria yang menerima bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.
Keluarga Ali dan Aishah antara pelarian Syria yang menerima bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.

Gegaran kuat itu turut dirasai di Reyhanli yang menjadi tempat perlindungan buat Ali dan Aishah.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/