Feri dari Langkawi bawa 511 penumpang terkandas

Penumpang Feri Express Bahagia 168 yang terkandas akibat paras laut surut berjaya diselamatkan dalam operasi malam tadi. - APMM
Penumpang Feri Express Bahagia 168 yang terkandas akibat paras laut surut berjaya diselamatkan dalam operasi malam tadi. - APMM
A
A
A

KUALA KEDAH - Sebuah feri membawa seramai 511 penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah telah terkandas pada jam 9.15 malam pada Khamis.

Feri Express Bahagia 168 dilaporkan terkandas pada kedudukan posisi 0.8 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, feri tersebut telah terkandas apabila paras air laut surut hingga menyebabkan ia tersangkut di kawasan beting lumpur.

Menurutnya, Bot Perkasa 1224 telah diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha menjaga keselamatan dan membantu pihak feri serta Jabatan Laut Malaysia.

"Feri berkenaan berjaya ditunda balik oleh bot penunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah dengan diiringi oleh bot Perkasa 1224 pada jam 11.15 malam.

"Operasi yang dikendalikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ini selesai pada jam 12 tengah malam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Agensi yang terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Maritim Malaysia mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dan aduan sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.