Gempa bumi Turkiye: Tepukan, sorakan terima kasih iringi SMART

A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kumpulan pertama (MAS-01) menerima tepukan gemuruh dan ucapan terima kasih daripada rakyat Turkiye di Lapangan Terbang Gaziantep pada Khamis.

Menerusi perkongsian video berdurasi 42 saat di Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), memaparkan orang ramai menunggu di ruangan sebelum masuk ke pintu pelepasan bagi memberikan tepukan dan sorakan sebagai tanda penghargaan buat pasukan SMART.

Pasukan tersebut dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas 14 hari berada di kawasan terjejas di wilayah Gazientep akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu bagi kerja mencari dan menyelamat (SAR).

Dalam perkembangan sama, pasukan SAR Malaysia telah memulakan proses demobilisasi dari Turkiye di mana pasukan pertama yang akan pulang dari Istanbul akan didahului oleh MAS10.

Mereka dijadualkan tiba di Malaysia menerusi dua penerbangan iaitu pada jam 12.20 tengah hari dan jam 5 petang Khamis.

"Selamat pulang Wira-Wira Malaysia," tulis Nadma.

Sebelum itu, Nadma turut berkongsi pertemuan antara Timbalan Komandernya, Deputi Superintendan Safrizan bersama pengurus koordinar Nurdagi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Mehmet Salih Avci sebelum pulang ke Malaysia.

"Bagi menamatkan misi di Gaziantep, Pasukan MAS-01 SMART diketuai oleh Timbalan Komander, Safrizan, mengunjungi pihak berkuasa pengurusan kecemasan tempatan (LEMA).

"Dalam kunjungan berkenaan, beliau bertemu dengan Mehmet bagi memaklumkan kepulangan pasukan SMART. AFAD menyampaikan ucapan terima kasih kepada Malaysia di samping memuji kecekapan pasukan negara dalam operasi SAR di Nurdagi.

"Bantuan yang diberikan oleh Pasukan SAR terutama MAS-01 amat bermakna bagi mereka, lebih-lebih lagi kejayaan menemui mangsa yang masih hidup," katanya.

Pada 7 Februari lalu, Malaysia menghantar pasukan SMART dengan 70 anggota ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.

Gempa bumi kuat 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Februari lalu meragut puluhan ribuan nyawa.

Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan SAR berjalan lancar.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/