'Legasi terakhir Mohd Kamal supaya hancurkan rasuah'

Hussamuddin ketika hadir di surau Al Mawaddah Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Kamal.
Hussamuddin ketika hadir di surau Al Mawaddah Sungai Tangkas Bandar Baru Bangi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Kamal.
A
A
A

BANGI - "Hasil terakhir beliau adalah tentang perlunya orang Melayu tolak rasuah secara besar besaran."

Justeru Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berharap masyarakat menyambut seruan legasi Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan untuk meneruskan usaha penentangan rasuah yang ditinggalkan oleh beliau.

Menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar buat negara, Hussamuddin menegaskan, Mohd Kamal seorang insan yang berani dan tegas dalam memerangi rasuah di negara ini.

“Saya kira ini sebuah kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham merupakan cendekiawan yang banyak menyumbang kepada dunia ilmu di Malaysia.

“Beliau antara insan terawal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan usaha beliau menentang rasuah saya harap seruan ini disambut kerana inilah legasi terakhir beliau,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Allahyarham merupakan penulis buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika.

Mohd Kamal mengarang buku itu untuk menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters bermula tahun 2021.

Melalui buku yang dihasilkan, Mohd Kamal menyeru pentingnya pembinaan kekuatan dari dalam iaitu kekuatan rohani untuk memerangi rasuah.

Buku tersebut dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kumpulan Karangkraf pada September tahun lalu.

Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang pada jam 2.30 pagi, pada Khamis.

Allahyarham selamat dikebumikan sekitar jam 11:40 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Bangi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi.