Waspada jerat sindiket jual tanah lot lidi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINDIKET penjualan tanah yang tiada geran individu atau lebih popular dikenali sebagai lot lidi semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Mana tidaknya, pelbagai tawaran dan janji manis ditabur penjual untuk ‘menjerat’ pembeli membeli tanah lot lidi.

Pada Selasa lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mengetengahkan kebimbangan sepasang suami isteri yang terpedaya dengan pembelian tanah lot lidi di Dengkil, Selangor.

Media melaporkan, pasangan itu membeli dua lot tanah berkeluasan 650 meter persegi terpaksa menanggung kerugian RM140,000 selepas ditipu sindiket penjualan tanah lot lidi.

Pasangan itu membeli lot tanah itu pada tahun 2017, namun sehingga kini masih tidak mendapat hak pemilikan tersebut.

Lebih mengecewakan, apabila penjual dan peguam yang kononnya bertanggungjawab mengurus penukaran hak pemilikan gagal dihubungi dan terus menghilangkan diri.

Aktiviti penjualan lot lidi jelas satu kesalahan dan diklasifikasikan sebagai satu perbuatan jenayah.

Sindiket penjualan lot-lot kecil tanah ini kebanyakannya berstatus pertanian yang belum dipecah sempadan kepada geran individu.

Ditawarkan pada harga jauh lebih murah daripada pasaran antara faktor lot lidi mendapat permintaan tinggi.Lot lidi ini biasanya sebagai pilihan alternatif terutama kepada golongan B40 dan M40 untuk membina kediaman sendiri selepas bersara.

Faktor harga rumah terlalu tinggi di samping faktor usia antara punca mereka membeli lot lidi lebih-lebih lagi sekiranya pembiayaan rumah ditolak institusi kewangan.

Mungkin ramai pembeli di luar sana tidak diberi pendedahan atau ilmu berkaitan pembelian dan penjualan tanah.

Cara paling mudah mengenal pasti lot lidi ialah pembeli bertanya kepada penjual sama ada nama mereka masuk dalam geran atau tidak dan bukan hanya dalam dokumen surat pemegang amanah sahaja.Jika jawapannya tiada nama dalam geran, berhati-hati anda mungkin menjadi mangsa penjual tanah lot lidi.

Pembeli lot lidi terdedah dengan pelbagai risiko kerugian, antaranya hak dan kepentingan pembeli terhadap tanah lot lidi tidak akan dilindungi oleh undang-undang sekiranya tiada bukti sah iaitu nama pihak pembeli sendiri dalam geran tanah.

Pemilikan terhadap sesuatu hartanah hanya diiktiraf undang-undang selepas ia didaftarkan pindah milik kepada nama pembeli.

Lebih merumitkan apabila berlakunya kematian melibatkan nama pemilik tanah dalam geran, maka ia menjadi proses sukar dan panjang.

Disebabkan pembeli lot lidi tiada nama dalam geran, dari sudut undang-undang, mereka tidak layak untuk menuntut hak dan keadaan menjadi lebih sukar sekiranya waris pemilik tanah enggan memberikan kerjasama kepada pembeli lot lidi yang lain dan mendakwanya sebagai hartanya sendiri.

Malah, sekiranya pembeli lot lidi meninggal dunia, ia tidak boleh diwariskan.

Penjualan tanah lot lidi ini juga menarik perhatian kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap isu ini.

Kerajaan Selangor misalnya, bersetuju menolak semua permohonan pendaftaran surat ikatan amanah bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di negeri itu.

Sebenarnya tidak semua tanah lot dianggap lot lidi sekiranya ia mematuhi syarat ditetapkan, malah sebenarnya boleh dijual beli asalkan mengikuti prosedur sah dari segi undang-undang misalnya tanah memiliki geran individu berasingan dan berstatus bangunan.

Oleh itu, mana-mana individu yang ingin membeli tanah perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar sebelum melakukan sebarang pembelian dan bukan hanya melihat pada tawaran harga murah semata-mata.Membeli tanah bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah kerana melibatkan jumlah perbelanjaan besar dan berisiko tinggi jika tersilap langkah.

Jika hanya kerana tanah, adik-beradik boleh berpecah belah, apatah lagi sekiranya ia melibatkan perkongsian tanah antara orang luar seperti tanah lot lidi ini.

Secara ringkasnya, lot lidi ini masih milik pemegang amanah kerana hanya namanya sahaja yang berada dalam geran.

* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur