Kartel daging: Pengarah, syarikat didenda RM1.6 juta

Chee Keong yang mewakili LY Frozen Food didenda RM1.6 juta oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Chee Keong yang mewakili LY Frozen Food didenda RM1.6 juta oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat pembekal daging sejuk beku, LY Frozen Food Sdn Bhd dan pengarahnya yang terbabit dalam kes kartel daging dua tahun lalu, didenda RM1.6 juta di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu.

Hakim Fatimah Zahari menjatuhkan hukuman terhadap Pengarah LY Frozen Food, Yong Chee Keong, 42, selepas mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan syarikat sejuk beku itu.

Dalam keputusannya, Fatimah memerintahkan Chee Keong yang mewakili syarikat sejuk beku itu untuk membayar denda RM1.5 juta terhadap tujuh pertuduhan ke atas syarikat tersebut.

Chee Keong turut diperintahkan membayar denda RM100,000 terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya dan jika gagal, dipenjarakan selama enam bulan.

Sementara itu, semua tujuh pertuduhan yang didakwa terhadap Pengurus LY Frozen Food, Chong Kim Kuang, 50, pula ditarik balik atas arahan Jabatan Peguam Negara, berikutan statusnya hanya sebagai pekerja syarikat sejuk beku itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan seorang lagi Pengarah LY Frozen Food yang masih bebas, Tan Siew Huak, 44, supaya dilepas tanpa dibebaskan, sehingga dia ditemui.

Ia berikutan permohonan pihak pendakwaan yang tetap mahu meneruskan semua tujuh pertuduhan kes itu terhadap Siew Huak, selepas diarahkan Jabatan Peguam Negara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria, Syazwani Zawawi, Mas Syafiqah Maarob dan Kee Shu Min.

Tertuduh pula diwakili peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim.

Sepanjang kes dibicarakan sejak 9 Februari 2021, seramai 10 saksi pendakwaan dikemukakan, selain puluhan ribu eksibit termasuk membabitkan kotak bungkusan daging dengan tanda logo halal palsu.

Pada 9 Februari 2021, syarikat LY Frozen Food, Chee Keong dan Siew Huak, yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua badan pensijilan halal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu tanpa kebenaran.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.