Napoli masih belum selamat - Spalletti

Pemain Napoli meraikan jaringan Di Lorenzo (tengah) dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu. - Foto EPA
Pemain Napoli meraikan jaringan Di Lorenzo (tengah) dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu. - Foto EPA
A
A
A

LUCIANO Spalletti memberi amaran Napoli tidak boleh menganggap mereka selamat dan sudah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara walaupun melakar kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt.

Pendahulu Serie A itu meraih kemenangan 2-0 di Deutsche Bank Park apabila Victor Osimhen dan Giovanni Di Lorenzo masing-masing meledak satu gol.

Napoli tidak pernah mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dan beraksi cemerlang dalam pusingan 16 terakhir awal pagi Rabu, sekali gus membawa pulang bekalan selesa menjelang pertemuan timbal balik di Stadio Diego Armando Maradona pada 15 Mac.

"Adakah kami akan dapat mengulanginya? Kami perlu berbuat demikian dan kekal di landasan terbaik. Kami tidak boleh fikir sudah berjaya layak ke suku akhir," katanya.

Spalletti menegaskan kemampuan mental dan fizikal pemain menjadi faktor utama untuk mereka meraih kemenangan mengatasi Frankfurt di laman lawan itu.

"Perkara ini harus diketengahkan di sini, pasukan tidak berputus asa selepas (Khvicha Kvaratskhelia) gagal menyempurnakan penalti. Tetapi, mereka menjaringkan gol serta-merta dan menunjukkan rasa ingin menang.

"Berfikir dan bermain seperti ini untuk memenangi perlawanan. Kami mahu memenangi semuanya.

"Kami mengimpikan untuk mara ke suku akhir dan kami tidak boleh gagal. Pada kedudukan 2-0, ada kemungkinan untuk menjaringkan gol ketiga, kami melakukan beberapa perkara dengan baik," katanya.