Sanggup tumpangkan 13 keluarga mangsa gempa bumi

Rumah menempatkan 13 keluarga yang terselamat dalam tragedi gempa bumi pada 6 Februari lalu. Abdul Kadir (gambar kanan).
Rumah menempatkan 13 keluarga yang terselamat dalam tragedi gempa bumi pada 6 Februari lalu. Abdul Kadir (gambar kanan).
A
A
A

REYHANLI - Tanpa memikirkan ikatan persaudaraan, seorang lelaki warga Syria yang menetap di bandar ini sanggup menumpangkan 13 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka di Antakya, musnah dalam tragedi gempa bumi di negara ini pada 6 Februari lalu.

Abdul Kadir Maarof, 32, berkata, beliau tidak sampai hati melihat warga emas dan kanak-kanak tinggal di dalam khemah di kawasan taman dalam keadaan suhu mencecah -10 darjah Celsius.

Beliau memberitahu terpaksa berulang alik dari Reyhanli ke Antakya sebanyak lima kali untuk menumpangkan mangsa gempa bumi di rumahnya.

Kanak-kanak pelarian warga Syria yang terselamat dalam tragedi gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Kanak-kanak pelarian warga Syria yang terselamat dalam tragedi gempa bumi pada 6 Februari lalu.

"Saya pun menyewa di sini dan mengambil upah bertani dengan majikan warga Turkiye. Rumah pun tidak besar.

"Tetapi saya dan isteri tidak sanggup melihat warga emas dan kanak-kanak tidak mendapat pelindungan yang sebaiknya. Mereka berada dalam kesusahan ketika ini.

"Kesemuanya hampir 50 orang berada di rumah kami. Bagaimanapun enam keluarga telah keluar selepas mendapat rumah sewa di bandar ini," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam tragedi itu, mangsa korban gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter dilaporkan dari wilayah selatan Kahramanmaras, Adana, Adıyaman, Osmaniye, Hatay, Kilis dan Malatya dan tenggara Sanliurfa, Diyarbakir, dan Gaziantep, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Turkiye menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka telah berlindung di wilayah bencana.

Mengimbas peristiwa hitam itu, Abdul Kadir berkata, beliau tidak senang duduk selepas mendapat berita wilayah-wilayah menempatkan pelarian warga Syria terjejas akibat gempa bumi itu.

"Selama 10 hari saya di Antakya dan Kirikhan bagi membantu misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terjejas," katanya.

Jumlah kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye telah meningkat kepada 40,689.

Angka kematian dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat daripada runtuhan.

Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar berkata pada Ahad bahawa sekurang-kurangnya 10,633 rakyat Syria yang berada di negara itu telah kembali ke tanah air mereka secara sukarela selepas gempa bumi.

Gempa itu disebut-sebut sebagai yang terbesar dalam 100 tahun terakhir sejak 1939.

Selain di Turkiye, utara Syria yang menempatkan pelarian dalam negara turut terjejas dan mengorbankan sekurang-kurangnya hampir 6,000 orang dalam kejadian gempa bumi itu.

Ahmad Syarif
Ahmad Syarif

Sementara itu, Ahmad Syarif, 70 berkata, beliau bersyukur Abdul Kadir sanggup menerimanya walaupun sebelum itu mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

"Saya bersyukur kepada ALLAH kerana mendatangkan Abdul Kadir untuk membantu kami di sana.

"Jika tidak, kami sekeluarga akan tinggal di dalam khemah di taman sehingga ke hari ini. Saya sudah tua dan tiada kudrat untuk bertahan," katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Sebahagian keluarga yang menerima sumbangan wang tunai melalui Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care di Reyhanli.
Sebahagian keluarga yang menerima sumbangan wang tunai melalui Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care di Reyhanli.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/