'Ia satu perjalanan yang indah'

Shahril Ishak - Foto Agensi
Shahril Ishak - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS kapten Singapura, Shahril Ishak mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak dalam usia 39 tahun pada Selasa.

Shahril ketika berkongsi keputusan itu di laman Instagramnya menyifatkan ia bukan keputusan yang mudah.

“Setiap yang mula akan ada penghujungnya. Selepas 19 tahun saya membuat keputusan menamatkan karier sebagai pemain profesional,” katanya.

Penampilan terakhir Shahril adalah ketika beraksi untuk kelab Liga Perdana Singapura, Hougang United yang memenangi Piala Singapura musim lalu.

Untuk rekod, antara pasukan tempatan yang pernah disertai Shahril sebelum ini Young Lions, Home United, Lions XII, Warriors FC dan Lion City Sailors.

Shahril juga pernah menyarung jersi kelab Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta’zim II dan kelab Liga Indonesia, Persib Bandung dan Medan Chiefs.

“Saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih, kakitangan di belakang tadbir, peminat, rakan sepasukan, dahulu dan sekarang atas sokongan sepanjang tahun.

“Kerja keras mereka di belakang tabir memainkan peranan dalam membantu saya mencapai banyak kejayaan sepanjang dekad lalu,” katanya.

Shahril membuat penampilan sulung profesionalnya bersama Young Lions pada 2003, memperoleh kaps antarabangsa pertamanya pada tahun sama.

Beliau merupakan pemain Singapura ketiga paling banyak beraksi dengan 138 penampilan.

Perlawanan terakhirnya bersama The Lions ialah ketika menentang Filipina dalam Kejuaraan Piala AFF pada 2018.

Beliau juga merupakan sebahagian daripada anggota The Lions yang memenangi Piala AFF pada 2004, 2007 dan 2012.

“Bermain dan menjadi kapten negara saya adalah sesuatu yang diimpikan selalu dan ia adalah satu penghormatan yang besar,” katanya.

Untuk rekod, Shahril juga meraih banyak pencapaian individu di atas padang.

Pada 2010, beliau memenangi Anugerah Pemain Terbaik Liga-S.

Beliau dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga apabila menjadi kapten Singapura ke Piala AFF 2012, dan merangkul Anugerah Pemain Terbaik AFF pada 2013.

Beliau juga menjadi kapten LionsXII ketika mengemudi pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Super 2013.

“Saya menantikan langkah seterusnya... Tetapi kini, sudah tiba masanya untuk memberi impak kepada permainan di luar padang.

“Sehingga itu, terima kasih semua kerana membantu saya memenuhi impian. Ia satu perjalanan yang indah,” kata Shahril.