Mohd Zan lega penggempur kembali berbisa

Mohd Zan gembira jentera penyudahnya kembali temui sentuhan jaringan selepas membelasah Kelantan 5-2 dalam aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.
Mohd Zan gembira jentera penyudahnya kembali temui sentuhan jaringan selepas membelasah Kelantan 5-2 dalam aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.
A
A
A

PENGENDALI Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris mampu tersenyum apabila jentera serangan pasukannya kembali menemui sentuhan selepas mencatatkan kemenangan besar 5-2 ke atas Kelantan dalam saingan Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.

Mohd Zan berkata, dalam aksi sebelum ini skuad Jang berdepan masalah di bahagian serangan sehingga menyaksikan penggempur mereka gagal meledak jaringan.

"Kita akui jentera penyudah Negeri Sembilan memang tumpul kerana dalam beberapa perlawanan lalu kita hanya mampu menjaringkan enam gol dan melepaskan 10 gol.

"Tapi malam ini (tadi) kita dapat jaringkan lima gol, saya rasa ada peningkatan. Apa pun, kita memang nak cari seorang penyerang import lagi apabila jendela perpindahan dibuka tidak lama lagi," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Pada aksi tersebut, penyerang muda, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menampilkan aksi kelas tersendiri apabila mencipta hatrik pada minit ke-12, 43 dan 50 manakala dua gol lagi disumbangkan Jose Barros Neto (m-54) serta Mohd Ridzuan Abdunloh Pula (m-56).

Sementara itu, gol pasukan tuan rumah hadir menerusi sepakan bebas Flavio Beck Junior (m-15) dan Mohd Hakimi Abdullah, dalam masa kecederaan penghujung perlawanan.

Menurut jurulatih berusia 61 tahun itu, rangkaian serangan pasukannya beraksi begitu baik sehingga ketiga-tiga penyerang mereka berjaya mencetak jaringan tersebut.

"Kalau tengok tiga gol dijaringkan Ferris Danial, Barros Neto dan Mohd Ridzuan, semuanya datang daripada penyerang kita. Memang kita tekankan mereka dalam latihan dan saya harap terutamanya Ferris Danial akan mendapat lebih keyakinan dalam perlawanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun menang, tapi kita juga melepaskan satu gol pada minit-minit akhir dan ini satu kelemahan yang perlu diatasi sebelum bertemu Terengganu FC (TFC) II di tempat lawan, minggu depan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!