Ahmad Jais dijangka naik pangkat

Halim (kiri) bersama Sumali (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam Isnin.
Halim (kiri) bersama Sumali (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam Isnin.
A
A
A
[KEMAS KINI] PERKHABARAN gembira bakal menanti ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun yang dijangka dinaikkan pangkat ke pengarah teknikal Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Ketika berkongsi perkhabaran itu, Timbalan Presiden I PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan berkenaan pada malam Isnin.

Katanya, keputusan itu antara pendekatan proaktif PSM dalam penstrukturan semula barisan kejurulatihan serta pemain sepak takraw negara.

“Bagaimanapun perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diteruskan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan jawatan pengarah teknikal disandang Ahmad Jais.



“Ya, perbincangan kita sebelum ini adalah ketua jurulatih, namun yang terkini, kita sudah berbincang dan akan berbincang lagi dan putuskan lagi bersama MSN ke arah pengarah teknikal.

“Apapun perkara ini perlu mendapat persetujuan MSN dan perbincangan secara lisan sudahpun dibuat oleh PSM,” kata Abdul Halim kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan telah berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada malam Isnin.

Dalam perkembangan lain Abdul Halim yang juga Pengerusi Pemilihan PSM mengesahkan skuad negara menyertai tiga daripada enam acara kategori lelaki dalam Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Jelasnya, pasukan lelaki akan menyahut cabaran dalam acara regu berpasukan, antara regu dan beregu manakala wanita pula beraksi acara beregu berpasukan dan kuadran.

“Acara chinlone pula pasukan negara akan menyertai tiga acara iaitu non-repetion primary, same stroke, linking daripada empat acara berikutan peraturan ditetapkan penganjur Kemboja 2023.

“PSM dengan kerjasama MSN juga akan melantik seorang perunding dari Myanmar bagi membantu latihan dan persiapan pasukan negara.

“Sebanyak 37 pemain termasuk yang dalam skuad negara sekarang, disenaraikan bagi sesi pemilihan dari Jumaat hingga Ahad ini di MSN, Bukit Jalil dalam menyaring 25 yang terbaik sebagai persediaan Sukan SEA dan Sukan Asia Hangzhou, September ini.

“Sebanyak 15 pemain pula telah disenarai pendek ke kem latihan skuad wanita mulai Isnin ini,” katanya.

Untuk rekod antara kejohanan-kejohanan besar melibatkan skuad takraw negara termasuklah Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 dan Sukan Asia 2022 Hangzhao, China.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!