Malaysia kekalkan momentum prestasi perdagangan

Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada Januari 2023. - Gambar hiasan
Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada Januari 2023. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada Januari 2023 dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perdagangan berkembang 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion dengan eksport meningkat 1.6 peratus kepada RM112.84 bilion manakala import mengukuh 2.3 peratus kepada RM94.67 bilion.

Menurut MITI, lebihan dagangan berjumlah RM18.16 bilion, turun 2.1 peratus yang merupakan lebihan dagangan yang ke-33 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mei 2020.

"Pertumbuhan eksport disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).

"Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menurun 11.8 peratus, 14.4 peratus, 8.6 peratus dan 35.5 peratus disebabkan bilangan hari berkerja yang singkat dan cuti perayaan yang panjang," katanya.

Pada Januari 2023, MITI berkata, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.2 peratus daripada jumlah eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM94.97 bilion berikutan eksport yang lebih rendah bagi barangan perkilangan logam, keluaran getah serta barangan besi dan keluli.

Walau bagaimanapun, kenaikan eksport dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan minuman dan tembakau.

Secara kolektif, eksport keluaran petroleum dan barangan E&E menyumbang 52.2 peratus kepada jumlah eksport Malaysia dan meningkat sebanyak RM7.66 bilion, katanya.

MITI turut menyatakan eksport hasil galian (9.1 peratus penguasaan) melonjak 50.1 peratus tahun ke tahun kepada RM10.23 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-22 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh peningkatan eksport LNG.

Sementara itu, eksport keluaran pertanian (6.2 peratus penguasaan) turun 19.8 peratus kepada RM7.01 bilion berbanding Januari 2022 disebabkan oleh eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih rendah.

Untuk perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian naik 5.8 peratus manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing menyusut 14 peratus dan dan 36.4 peratus.

Bagi prestasi perdagangan dengan pasaran utama pada bulan Januari, MITI berkata, ASEAN menyumbang 26.6 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM55.26 bilion.

Eksport pula berkembang 10.7 peratus kepada RM34.1 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh peningkatan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.

Namun begitu, import dari ASEAN menurun 1.8 peratus kepada RM21.16 bilion, katanya.

"Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan adalah Singapura yang berkembang sebanyak RM2.86 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan Thailand yang meningkat RM431.4 juta, disumbang oleh eksport keluaran petroleum.

"Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport dan import masing-masing susut 11.6 peratus, 10.3 peratus dan 13.6 peratus," tambahnya.

Pada Januari 2023, perdagangan dengan China yang merangkumi 17.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia menguncup 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM37.01 bilion.

"Eksport ke China bernilai RM14.98 bilion, turun 11.9 peratus berikutan penyusutan eksport barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum. Walau bagaimanapun, kenaikan eksport telah direkodkan bagi kimia dan bahan kimia serta barangan E&E.

"Import dari China berkurangan 4.9 peratus kepada RM22.03 bilion. Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport dan import masing-masing merosot 11.7 peratus, 16.6 peratus dan 8.1 peratus," kata MITI.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2023, yang merangkumi sembilan peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM18.72 bilion dengan eksport berjumlah RM12.05 bilion, menyusut secara marginal sebanyak 0.6 peratus disebabkan eksport yang lebih rendah bagi barangan besi dan keluli, barangan kayu serta keluaran getah.

Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari AS naik 4.7 peratus kepada RM6.67 bilion dan untuk perrbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing menguncup sebanyak 16.8 peratus, 22 peratus dan 5.3 peratus.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mewakili 8.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM17.09 bilion.

Eksport meningkat 1.4 peratus kepada RM9.35 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan manakala import dari EU mengembang 6.1 peratus kepada RM7.74 bilion.

Perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 6.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM14.09 bilion manakala eksport meningkat 13.2 peratus kepada RM8.19 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-23 bulan berturut-turut dan disokong oleh pertambahan eksport LNG.

Sementara import dari Jepun berkembang 3.2 peratus kepada RM5.9 bilion.

Menurut MITI, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyerap 68.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM141.46 bilion dengan eksport naik 3.9 peratus kepada RM80.03 bilion dan import berkurangan 2.6 peratus kepada RM61.44 bilion.

Peningkatan eksport telah direkodkan ke Australia, yang naik sebanyak 27.8 peratus kepada RM3.63 bilion dan eksport ke New Zealand melonjak 176 peratus kepada RM821 juta, disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum.

Untuk prestasi import pada Januari 2023, MITI berkata tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 70.3 peratus termasuk barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan.

Barangan pengantara, bernilai RM48.56 bilion atau 51.3 peratus daripada jumlah import, berkurangan 3.9 peratus berikutan penurunan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan.

"Barangan modal, bernilai RM9.7 bilion atau 10.2 peratus daripada jumlah import, turun 1.7 peratus disebabkan oleh penyusutan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan sementara barangan penggunaan, bernilai RM8.25 bilion atau 8.7 peratus daripada jumlah import, menyusut 4.7 peratus ekoran pengurangan import barangan tahan lama," jelas MITI. - Bernama