Gempa bumi: NATO hantar kontena ke Turkiye

Keadaan bangunan kediaman Ibrahim di Antakya yang musnah dalam kejadian gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
Keadaan bangunan kediaman Ibrahim di Antakya yang musnah dalam kejadian gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
A
A
A

LONDON - NATO menghantar lebih 600 kontena untuk dijadikan penempatan sementara kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, menurut pihak perikatan tentera itu pada Ahad.

NATO dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kapal yang membawa kontena itu akan berlepas dari pelabuhan Taranto, Itali pada petang Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Penghantaran itu akan menyediakan perumahan sementara untuk sekurang-kurangnya 4,000 penduduk yang terjejas akibat gempa bumi.

"Kapal itu dijangka tiba di Iskenderun minggu depan,” menurut NATO.

Sementara itu, NATO turut menyatakan pihaknya sedang menyelaras usaha untuk mengangkut khemah dari Pakistan ke Turkiye.

Penghantaran kontena dan khemah itu sebagai tanda solidariti, kata Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg ketika melakukan lawatan ke Turkiye pada Khamis.

Sekurang-kurangnya 41,020 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari.

Gempa yang berpusat di Kahramanmaras itu turut menggegarkan 10 wilayah lain iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa dan menjejaskan lebih 13 juta penduduk. - Bernama

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/