[VIDEO] Najib tiba di mahkamah semakan keputusan kes SRC

Kenderaan yang dipercayai membawa Najib tiba jam 8.25 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.
Kenderaan yang dipercayai membawa Najib tiba jam 8.25 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenderaan yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba jam 8.25 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.

Difahamkan ketibaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, beberapa penyokong turut dilihat berada di pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi.

Susulan itu, pihak keselamatan memperketatkan kawalan di dalam dan luar mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 21 Oktober 2022, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan 19, 20 dan 26 Januari untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman kes tersebut.

Pada hari pertama prosiding, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang newakili Najib, membantah senarai panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau tidak bersetuju dengan komposisi panel hakim yang turut menyenaraikan nama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Menurutnya, mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mesti terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan sahaja.

Selain Abu Bakar empat panel hakim lain yang mendengar prosiding itu ialah Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Namun, dua lagi tarikh iaitu 20 dan 26 Januari dilapangkan kerana seorang daripada panel hakim yang perlu mendengar semakan kes bekas Perdana Menteri itu, terlibat dalam kes lain.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 hingga 22 Februari untuk prosiding semakan terbabit.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September tahun sama, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Beliau memohon mahkamah semakan itu untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhi hukuman dan denda itu terhadap Najib malah keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Pemimpin UMNO itu memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan baharu, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan dalam afidavit jawapan menyatakan, permohonan semakan Najib, tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.