China semakin 'laju' tiru model motosikal berjenama

Model CN800 Zhen yang dipercayai ditiru daripada Honda CBR650R.
Model CN800 Zhen yang dipercayai ditiru daripada Honda CBR650R.
A
A
A

BEIJING - China sememangnya terkenal sebagai negara yang dikaitkan dengan produk tiruan daripada barangan aksesori sehinggalah ke sektor automotif.

Malah, jentera dua roda juga tidak terlepas daripada menjadi 'mangsa' produk tiruan di negara maju didiami lebih 1.3 billion penduduk itu.

Produk jenama syarikat permotoran seperti Honda, Kawasaki, Ducati, Yamaha, Harley-Davidson dan BMW sering menjadi bahan ciplak syarikat dari China dengan memberikan nama-nama tempatan selain dipercayai mempunyai kapasiti kelajuan yang berbeza.

Bagaimanapun, ia hanya dijual di pasaran tempatan.

Terbaharu, sebuah syarikat China, Jiajue melancarkan dua buah motosikal berkuasa tinggi diberi nama CN800 Zhen dan CNR800 Rui yang ditiru daripada jenama Honda dari model CBR650R dan CB650R.

Gambar model CN800 Zhen yang tular di media sosial menyaksikan motosikal itu mempunyai ciri-ciri bentuk hampir sama dengan model asal.

Malah, model ini turut menawarkan beberapa alat ganti berteknologi tinggi seperti sistem brek dari jenama digunakan syarikat Jepun dan Eropah. Kelajuannya juga mampu menyaingi model asal.

Sebelum ini, syarikat permotoran Moxiao melancarkan model MX650 dan MX500 yang sama dengan model dari Ducati Panigale V4 dan Streetfighter V4. - Agensi